Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Wujud Pusat Jagaan 1Malaysia

03.27.2012 · Posted in Isu Semasa

Masalah tentang pengambilan pembantu rumah warga asing nampaknya sering menemui jalan buntu. Kini sudah tiba masanya bagi kerajaan mencari jalan terbaik bagi mengurangkan kebergantungan kita terhadap pembantu rumah warga asing. Kerajaan mungkin boleh menambah satu lagi teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menjadikan ia teras ketujuh iaitu ‘ Pengurangan pergantungan terhadap pembantu rumah asing ‘ dan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Di bawah pimpinan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak, negara telah banyak berubah melalui dasar transformasi atas nama 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Klinik Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Mengapa tidak melaksanakan Program Pusat Jagaan 1Malaysia (PJ1M) bagi mengatasi masalah kebergantungan kepada pembantu rumah warga asing ini?. Langkah pertama yang boleh diambil oleh kerajaan ialah mewajibkan semua kementerian, badan berkanun persekutuan dan negeri bagi mewujudkan Pusat Jagaan 1Malaysia di setiap agensi kerajaan.

Buat masa ini ada egensi kerajaan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Jalan Ampang yang telah melaksanakan penubuhan Taska Permata yang dapat membantu sedikit sebanyak bagi mengatasi masalah tersebut.

Langkah kedua yang boleh diambil ialah menubuhkan Pusat Jagaan 1Malaysia di setiap kawasan perumahan terutamanya di bandar dengan pusat ini diuruskan oleh agensi di bawah kerajaan.

Pusat Jagaan 1Malaysia dijangka dapat diurus dengan baik jika diurus oleh kerajaan dan secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Pusat jagaan ini juga mesti ditakbir sekurang-kurangnya oleh seorang profesional ( sekurang-kurangnya mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang berkaitan ) dan mesti terdiri daripada kakitangan yang terlatih.

Langkah ketiga ialah menaikkan taraf Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang sedia ada termasuk nurseri dan taska, dengan pusat jagaan ini perlu mematuhi dan mencapai standard dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, untuk jangka masa panjang sekiranya kerajaan dapat melaksanakan dasar ini, kita percaya ini langkah terbaik bagi meleraikan kemelut ini. Kita perlu ingat bahawa generasi anak kecil hari ini adalah generasi yang bakal mewarnai suasana ekonomi, politik dan sosial pada masa hadapan. Penjagaan yang berkualiti dan baik bakal menyaksiakan Malaysia mampu mencapai status negara maju dengan rakyatnya yang berkualiti dan berdaya saing.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup