Tips Untuk Pengguna Kosmetik

Kita sering mendengar ramai pengguna produk kosmetik mengalami alahan daripada penggunaan barangan kosmetik tertentu. Hal tersebut mungkin berpunca daripada ketidakserasian kulit seseorang pengguna dengan produk tersebut.
Justeru, kepada pengguna di luar sana sila baca label sesuatu produk tersebut dengan teliti dan ikut arahan yang telah dicatatkan pada kotak sebelum menggunakannya, terutama sekali apabila menggunakan barangan yang mengandungi antiperspirant, depilotories, pewarna rambut dan sebagainya.
Untuk mengetahui atau memastikan sama ada anda mengalami alahan kepada sesuatu barangan kosmetik, anda boleh cuba sapukan sedikit produk tersebut pada bahagian belakang tangan anda dan biarkan selama 24 jam. Sekiranya anda mendapati sebarang kesan-kesan sampingan seperti kemerah-merahan, berbintil atau gatal-gatal dan sebagainya, sila hentikan penggunaan produk tersebut.
Sekiranya barangan kosmetik tersebut menyebabkan anda mengalami alahan atau kesan sampingan, cuci dan bersihkan bahagian-bahagian yang telah disapukan dengan bahan kosmetik tersebut dengan serta-merta. Jika anda merasa kesan bahan kosmetik tersebut tidak boleh dibersihkan atau anda mengalami keadaan tidak selesa, segeralah berjumpa dengan doktor serta membawa sekali barangan kosmetik tersebut untuk diuji.
Kepada yang selalu mengunjungi pusat-pusat kecantikan ( salon ), jika ada yang mengalami kesan sampingan, dinasihatkan pergi semula ke pusat kecantikan tersebut, catat nama barangan kosmetik yang digunakan dan ambil sedikit contohnya sekali.
Bagi anda yang sering menggunakan barangan mekap mata, anda harus menggunakannya dengan berhati-hati bagi mengelakkan sentuhan bahan kimia atau kerosakan mekanikal pada bahagian mata.
Perlu diingat, kemungkinan kebanyakan barangan kosmetik mengandungi bahan-bahan toksik yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi membahayakan kanak-kanak. Jangan sesekali membiarkan kanak-kanak bermain dengan barangan kosmetik anda. Simpan di tempat yang tinggi yang tidak mudah dicapai atau dilihat oleh kanak-kanak.