STPM Adalah Pilihan Terbaik

Umum sudah pasti mengetahui bahawa ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Matrikulasi.
Kegagalan ini banyak berpunca daripada pilihan jurusan yang salah ketika di pusat pengajian tinggi. Kesilapan dalam pemilihan jurusan adalah sesuatu perkara yang amat merugikan bagi mereka yang bergelar graduan.
Umum mengetahui bahawa memasuki Tingkatan Enam adalah batu loncatan yang mudah buat mereka dalam meneruskan pembelajaran mereka pada peringkat ijazah. Kita dapat menilai kualiti dilahirkan oleh pelajar lepasan STPM dan Diploma adalah sangat berbeza.
Untuk memasuki Tingkatan Enam, kepintaran pelajar tidak diutamakan kerana ia bukan seperti Matrikulasi kerana kerajinan dan usaha yang gigih serta fokus di dalam kelas sudah cukup untuk melonjakkan pelajar itu sebagai murid cemerlang dan terbilang.
Aktiviti kokurikulum yang diadakan pada setiap hari Rabu untuk pelajar adalah sesuatu yang membina dalam melahirkan modal insan yang berketerampilan. Kokurikulum dan kurikulum yang seimbang diadakan bagi pelajar Tingkatan Enam untuk motivasi serta melatih pelajar mengalami sendiri suasana di Universiti agar mereka tidak kekok berada di sana nanti.
Pendidikan Kolokium pra Universiti yang diadakan bagi pelajar Tingkatan Enam adalah salah satu cara melatih pelajar berhadapan dengan orang ramai. Selain itu ia juga melatih pelajar menggunakan komputer dalam membentangkan hasil kerja secara berkumpulan seperti di IPT.
Dari segi kos pembelajaran, Tingkatan Enam adalah sangat berbeza dan murah berbanding kos untuk Diploma, sekali gus mengurangkan pinjaman mereka kepada mana-mana pihak. Selain itu, pelajar Tingkatan Enam juga kurang terjebak dengan masalah sosial kerana mereka masih di bawah pengawasan ibu bapa dan peraturan sekolah.
Kebaikan memasuki Tingkatan Enam perlulah didedahkan secara meluas bagi menarik minat pelajar lepasan SPM. Kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan haruslah memartabatkan serta memperkasakan lagi tentang keistimewaan menyambung pengajian hingga ke Tingkatan Enam kerana dilihat, rata-rata pelajar lepasan SPM lebih gemar melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS yang mereka anggap lebih glamor.