Stesen Penyiaran Pilih Kasih

Apa sudah jadi dengan stesen TV di negara kita?. Filem serta drama kita seperti dianak tirikan oleh stesen TV di negara sendiri. Cuba kita perhatikan stesen TV di Indonesia, tidak ada menayangkan langsung satu pun slot drama atau pun filem dari Malaysia tetapi lebih banyak menampilkan filem-filem dan drama dari Jepun dan Korea. Inikah yang dinamakan Negara Serumpun?.
Yang menimbulkan persoalan, mengapa terlalu banyak filem-filem dan slot drama yang diimport dari Indonesia ditayangkan setiap hari di stesen TV di negara kita?. Apakah masalah yang dihadapi oleh drama dan filem tempatan sehinggakan stesen TV kita berlumba-lumba untuk mendapatkan tempahan filem dari Indonesia sedangkan mereka tidak pernah memperdulikan langsung untuk menayangkan filem atau drama kita dalam rancangan TV di negara mereka.
Bukan sahaja setakat filem ataupun drama dari negara kita, malahan lagu-lagu dari artis kita sendiri pun susah untuk mendapat perhatian dari stesen mereka, sebaliknya artis mereka tumbuh bagai cendawan serta mendapat liputan yang meluas di negara kita.
Sepatutnya pihak berkuasa di negara kita ini dapat bertindak dengan lebih sewajarnya dengan meletakkan beberapa syarat untuk pengimportan filem dan drama bersiri dari Indonesia, iaitu mereka hendaklah juga memberi peluang untuk menayangkan filem atau drama dari negara kita juga. Lagipun, budaya dan cara hidup serta adat yang diamalkan oleh kedua-dua buah negara juga ada perbezaan secara tidak langsung.
Sekiranya, isu tentang lambakan filem-filem dan slot drama dari seberang terus mendapat perhatian daripada stesen-stesen penyiaran di negara kita, ia secara tidak langsung mungkin mampu mempengaruhi penonton di Malaysia dengan budaya mereka yang kadang-kala tidak begitu sesuai dengan amalan masyarakat di negara kita.
Apapun, kita kena terlebih dahulu mengutamakan apa jua yang ada kaitan dengan produk dari hasil tempatan, selepas itu barulah kita memberi peluang pada yang lain. Syarikat penyiaran juga tidak harus memikirkan keuntungan semata-mata hingga sanggup mengetepikan tanggungjawab sosial mereka kepada negara.