Status Logo Halal Terjawab

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu penguatkuasaan undang-undang yang hanya membenarkan premis jualan dan pengeluaran produk makanan halal untuk orang Islam dikehendaki hanya menggunakan satu jenis sijil dan logo berkuat kuasa pada 1 Julai 2012.
Sijil dan logo halal tersebut hanya akan dikeluarkan oleh pihak JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja. Selain daripada kedua-dua agensi itu, logo halal lain dianggap tidak sah. Dengan terlaksananya penguatkuasaan peraturan dan undang-undang tersebut, masyarakat Islam di negara ini tidak lagi terkeliru dengan pelbagai logo, sijil halal dan ungkapan yang dikeluarkan oleh banyak pihak.
Difahamkan mulai tarikh tersebut, tiada ‘ makanan untuk orang Islam’, ditanggung halal’, bufet Ramadan’ dan lain-lain seumpamanya pada papan tanda, dinding restoran dan sebagainya.
Susulan itu pihak berkuasa agama pusat dan negeri dilaporkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik dan pengusaha premis yang menjual makanan halal untuk orang Islam yang mengunakan selain daripada logo, sijil dan ungkapan yang dikeluarkan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri.
Masyarakat Islam sememangnya sejak lama mengharapkan pelaksanaan undang-undang seperti ini kerana bimbang termakan makanan yang tidak halal kerena perkara sedemikian dilarang keras di dalam Islam dan dimurkai Allh SWT.
Oleh itu, dengan adanya peraturan dan undang-undang sebegini ia amat dialu-alukan. Namun, pada masa yang sama masyarakat Islam juga mengharapkan agar ketegasan pihak berkuasa dalam melaksanakan undang-undang ini berterusan.
Dengan adanya kesungguhan dalam menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang ini, diharap masyarakat Islam di negara ini tidak akan terkeliru dan was-was dalam memilih makanan halal serta tidak terjebak dengan pengambilan makanan bersifat syubahah.