Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Status Halal Dan Harga Makanan

07.23.2012 · Posted in Sudut Pengetahuan

Ramadan kini telah tiba dan kita kini sudah memasuki hari ketiga berpuasa. Apabila tibanya bulan Ramadan, hidangan berbuka puasa akan kembali menjadi sebahagian daripada tradisi umat Islam.

Dua isu yang perlu difokuskan iaitu status halal makanan yang dihidangkan serta harga ditawarkan kepada pengguna. Isu halal dan haram sudah lama kedengaran. Banyak logo, iklan dan poster yang memaklumkan bahawa makanan halal di restoran tertentu. Kita mengesa kerajaan khususnya Jabatan Agama Islam agar memantau hidangan berbuka puasa di restoran dan hotel terkenal.

Kita harap kerajaan tegas dalam hal ini bagi memastikan makanan dan minuman haram tidak disediakan di premis berkenaan. Bagi sesetengah pendapat ulama, makanan haram tidak semestinya babi dan minuman keras. Ia juga meliputi cara hidangan yang dihidangkan. Jika ada unsur riak, tentunya sesuatu hidangan itu tidak sesuai sebagai juadah berbuka puasa.

Logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepatutnya menjadi penanda aras sesuatu hidangan yang boleh dimakan oleh umat Islam. Sebagai badan pengawal piawaian halal sejak Ogos 2009, JAKIM juga perlu diberi kuasa untuk menyerbu bukan saja kedai makanan tetapi juga ruang memasak di hotel terkemuka bagi memastikan hidangannya yang disediakan adalah secara halal.

Isu kedua yang perlu dipantau ialah harga makanan, sama ada di bazar Ramadan, mahupun hidangan bufet di hotel dan restoran lima bintang. Kita tahu ramai peniaga yang mengambil kesempatan setiap kali menjelang Ramadan. Ramai umat Islam mengeluh kerana jualan tinggi telah mengecilkan kuasa beli mereka menjelang musim perayaan.

Penguat kuasa perlu memantau keadaan ini bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa. Isu bufet Ramadan sudah lama diperkatakan. Ia berlanjutan kerana pengguna, khususnya umat Islam yang berkemampuan menjadikan hotel dan restoran lima bintang sebagai medan selera mereka. Kesempatan inilah yang diambil oleh pemilik premis untuk mencekik darah. Pada tahun ini kita berharap agar umat Islam mengambil iktibar untuk berhemah ketika berbelanja bagi memastikan mereka tidak terpedaya.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup