Statistik Penyakit Barah Hati

Kaum lelaki di Malaysia kini didapati mudah menghidap penyakit barah hati berbanding kaum wanita. Menurut statistik yang telah dikeluarkan oleh Yayasan Hepar Malaysia, seramai 2.5 juta rakyat Malaysia kini telah dikesan menghidap penyakit barah hati dan majoriti pesakit adalah lelaki.
Sabah dan Sarawak telah mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penyakit hepatitis B, manakala Kelantan pula mencatatkan kadar tertinggi bagi hepatitis A. Hepatitis B ini berjangkit dari ibu kepada anaknya, perkongsian menggunakan jarum suntikan dadah dan pemindahan darah.
Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengenal pasti kesan daripada kebanjiran pendatang asing dari pelbagai negara di Sabah dan Sarawak mungkin menjadi faktor penyebab berlakunya peningkatan hepatitis B ini bagi kedua-dua negeri berkenaan.
Yayasan Hepar Malaysia kini sedang giat mengesan pesakit-pesakit hepatitis di seluruh negara untuk membantu memberi sokongan rawatan dan kaunseling. Kempen penjelajahan yang pertama pada 2012 telah diadakan di negeri Terengganu memberi peluang kepada rakyat di negeri tersebut menjalani pemeriksaan darah serta mendapatkan suntikan vaksin.
Malah sempena kempen ini juga, harga vaksin juga telah diberi subsidi iaitu hanya RM60 berbanding RM80 pada waktu biasa. Kementerian Kesihatan berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama bagi menjayakan kempen tersebut disamping dapat membantu mencegah penularan jangkitan Hepatitis B.