Skim Khas Rumah PPR

Pertambahan penduduk kota akibat daripada kebanjiran pekerja dari luar bandar yang berhijrah untuk mencari rezeki di Bandaraya Kuala Lumpur telah menyebabkan peningkatan dari segi permintaan keperluan asas khususnya rumah. Keadaan itu semakin menekan berikutan kebanjiran pekerja asing, menjadikan permintaan keperluan asas itu meningkat saban tahun.
Permintaan yang meningkat terhadap keperluan asas tersebut telah menyebabkan harga rumah mahupun kadar sewa melonjak tinggi pada kadar yang sukar ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan rendah. Kenaikan itu serta lokasinya yang semakin jauh dari bandar telah menyebabkan sebilangan warga kota terpaksa menyewa sementara sambil menunggu peluang untuk memiliki rumah sendiri.
Sebahagian besar daripada mereka adalah pemastautin kota yang ditakrifkan sebagai penduduk miskin bandar. Oleh kerana tidak mampu membeli rumah sendiri, mereka terpaksalah menghuni rumah kos rendah milik pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan membayar kadar sewa yang agak rendah.
Memahami masalah yang dihadapi oleh penduduk yang berpendapatan rendah, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah mencadangkan satu Skim Pembiayaan Khas Program Penjualan Rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Skim yang telah diumumkan oleh Pedana menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari 2012 akan mula beroperasi pada 1 Mac depan yang membolehkan kira-kira 20,000 penyewa PPR dan Perumahan Awam memiliki rumah sendiri. Ia adalah satu lagi skim bantuan untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan dianggap hadiah daripada kerajaan sempena sambutan ulang tahun Wilayah Persekutuan tahun ini.
Skim ini dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Menerusi skim ini, kita yakin penyewa lebih mudah membeli dan memiliki rumah serta dapat mengatasi pelbagai kerenah dalam memperolehi pinjaman yang kerap dihadapi selama ini.
Program itu pastinya dapat memberi manafaat kepada warga tua yang tiada pendapatan tetap atau golongan yang disenarai hitam oleh institusi kewangan yang menyebabkan mereka tidak layak untuk mendapatkan pinjaman bank. menerusi skim itu, Yayasan Wilayah Persekutuan akan menjadi orang tengah bagi membantu mereka menguruskan pinjaman. Kelonggaran yang telah diberikan itu termasuk mengecualikan mereka daripada membuat bayaran pendahuluan manakala kadar faedah yang dikenakan juga lebih rendah.
Ia adalah bantuan murni kerajaan untuk rakyat sebagai tambahan kepada beberapa skim bantuan yang lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah diumumkan sebelum ini bagi menjadikan kehidupan di bandaraya besar lebih mesra dan selesa untuk penduduk yang kurang berkemampuan.