Sekolah Terima ‘Surat Amaran’

Published on: Jan 03 2013 by admin

Pelajar Sekolah Terima Bantuan RM100

Kementerian Pelajaran sudah mengeluarkan surat pekeliling memberi amaran supaya pihak sekolah tidak membuat pemotongan Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang bakal diagihkan kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima bermula 15 Januari ini ke semua sekolah di seluruh negara.

Surat pekeliling tersebut dikeluarkan kepada pihak sekolah supaya tidak dibenarkan sama sekali melakukan pemotongan wang untuk apa tujuan sekalipun termasuk tunggakan yuran sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Wang bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa serta murid dan pihak Kementerian Pelajaran tidak mahu mendengar sebarang aduan daripada ibu bapa mengenai hal ini (pemotongan wang bantuan) bagi membolehkan bantuan sampai terus kepada penerima.

Seramai 5.4 juta pelajar daripada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerima bantuan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2013 yang lalu.

Kementerian juga akan membuat pemantauan agar tiada sebarang aduan yang menyatakan ada pihak sekolah membuka kaunter khas untuk bayaran tunggakan ketika pengagihan wang bantuan berkenaan. Bayaran tunggakan adalah tanggungjawab ibu bapa, terpulanglah kepada mereka sama ada mahu membayar yuran PIBG atau tunggakan yang lain, tetapi bukan dengan cara pemotongan yang dilakukan oleh pihak sekolah.

Bookmark and Share

Sorry, the comment form is closed at this time.