Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Risiko Penyakit Tidak Berjangkit

05.13.2012 · Posted in Sudut Kesihatan

Malaysia kini sedang mengalami ancaman baru iaitu gejala penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti, darah tinggi dan diabetes di mana jumlah pesakitnya terus meningkat setiap tahun. Pada tahun lepas kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia menghidap darah tinggi, 2.5 juta mengalami masalah obesiti dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Situasi NCD di negara ini amat merunsingkan. Apa yang membimbangkan ialah masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa mereka telah menghidap NCD dan ramai lagi tidak sedar mengenai risiko penyakit ini dan menganggap ia perkara remeh.

Pada tahun lepas statistik menunjukkan penyakit diabetes meningkat 15.2 peratus berbanding 11.6 peratus pada tahun 2006, darah tinggi di kalangan dewasa berumur 30 tahun meningkat dari 32.2 peratus kepada 32.7 peratus bagi tempoh yang sama.

Ini menunjukkan pesakit obesiti meningkat tiga kali ganda iaitu dari 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 15.1 peratus tahun lepas manakala kelaziman merokok turut meningkat kepada 24.7 peratus berbanding 21.5 peratus tempoh yang sama.

Kementerian kini mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kempen kesedaran di 88 lokasi di seluruh negara untuk memastikan rakyat mendapat pendedahan bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihidapi. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan juga akan turut sama  menjalankan aktiviti yang sama di lokasi terpilih untuk mendapatkan pendedahan dan rawatan awal.

Punca utama seseorang menghidap NCD ialah masyarakat kini mengamalkan amalan hidup dan pemakanan tidak sihat serta kurang bersenam. Malah ramai rakyat Malaysia tidak melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala. Individu yang menghidap NCD tidak mengalami sebarang gejala dan kadang-kala ia hanya dapat dikesan selepas tujuh hingga 10 tahun.

Sehubungan itu, kementerian menyarankan rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko NCD setiap tahun untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup