Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Remaja Kian Lupa Diri

03.06.2012 · Posted in Isu Semasa

Remaja adalah modal insan bagi sesebuah negara untuk memangkinkan corak pemerintahan dan pentabiran negara pada suatu masa nanti. Kini, semakin ramai remaja terutamanya Melayu didapati terjebak dalam kegiatan jenayah. Masalah ini amat merunsingkan kita. Apakah golongan remaja ini yang kita harapkan daripada sistem pendidikan dan budaya hidup masyarakat pada hari ni?

Nampaknya remaja hari ini hanya mengutamakan hawa nafsu semata-mata tanpa memikirkan kesannya pada masa akan datang. Apakah remaja hanya tahu soal kebebasan bersosial?. Sesuatu yang harus dilakukan untuk menangani gejala ini.

Hampir setiap hari terpampang di dada akhbar mengenai kes-kes jenayah di kalangan remaja seperti rogol, dadah, mencuri dan yang terkini, kes pembuangan bayi yang semakin serius membabitkan remaja atau belia.

Mereka sepatutnya menumpukan perhatian kepada ilmu di sekolah dan memberi sumbangan tenaga serta ilmu yang dipelajari untuk kepentingan dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, kepentingan ini tidak disedari oleh mereka, malah mereka menganggap tenaga mereka diusia muda harus digunakan untuk berhibur sahaja. Apakah pemikiran sebegini yang kita harapkan daripada mereka?

Kajian harus dilakukan bagi mengesan punca remaja ini taksub kepada jenayah lebih-lebih lagi soal seks. Remaja lelaki harus sedar bahawa perhubungan seks sesama pasangan di bawah umur 16 tahun boleh didakwa sebagai jenayah rogol walaupun dalam keadaan suka sama suka. Tidak kasihankah kepada diri sendiri, akibat tindakan mengikut hawa nafsu, masa depan akan menjadi gelap atas kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Justeru, remaja hendaklah bermuhasabah diri sendiri. Remaja haruslah memikirkan keperluan hidup pada masa akan datang, mempunyai matlamat hidup dan perancangan strategi untuk mencapai matlamat yang digariskan. Dengan itu, barulah keperluan hidup dapat dipenuhi.

Remaja harus sedar dari tidur yang panjang untuk melakukan anjakan paradigma dalam diri supaya dapat membantu negara bagi terus membangun dan memajukan tanah air tempat tumpah darah ini sebelum semuanya berakhir dengan kekesalan yang berpanjangan.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup