Rakyat Malaysia Zaman Sekarang

Ramai di kalangan masyarakat sekarang masih belum peka dengan apa yang berlaku. Tidak menghormati lagu kebangsaan dan juga tidak menghiraukan serta membiarkan Jalur Gemilang yang sudah lama dipasang dalam keadaan yang amat menyedihkan iaitu dalam keadaan koyak-rabak serta lusuh.
Kejadian seumpama ini seharusnya dikenakan tindakan denda supaya ia menjadi pengajaran dan disiplin kepada seluruh rakyat Malaysia. Akhir-akhir ini dapat diperhatikan apabila lagu Kebangsaan ‘ Negara Ku ‘ berkumandang dalam sesuatu acara rasmi termasuk sebelum perlawanan bola sepak, terdapat segelintir orang awam seolah-olah enggan berdiri bagi menghormati lagu Kebangsaan dan adakalanya sengaja berborak sesama mereka.
Begitu juga apabila melihat bendera Jalur Gemilang dipasangkan di hadapan rumah, kedai, kilang, pejabat dan premis perniagaan yang lain iaitu pemiliknya hanya membiarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri dikibarkan dalam keadaan yang terlalu lusuh hingga warna dan lambang bendera tidak lagi kelihatan. Selain daripada itu banyak yang kelihatan sudah koyak-rabak.
Cintakan tanah air bukan setakat kata-kata di bibir saja tetapi mesti dipraktikkan dengan perbuatan. Mendidik rakyat agar lebih berdisplin dan tahu menghargai negara tercinta ini perlu disemaikan bermula dengan lambang dan semangat kenegaraan yang tinggi.
Begitu juga pada rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara termasuk pelajar yang suka memburuk-burukkan negara sendiri perlu diambil tindakan dengan diberikan amaran keras terlebih dahulu dan jika masih juga melakukan perbuatan yang sama hendaklah dikenakan tindakan kerana mencemarkan nama baik negara.
Sepatutnya, kita sebagai rakyat malaysia harus bersyukur kerana negara kita aman dan makmur, walaupun kita berbilang bangsa dan agama. Tindakan seperti tidak menghormati lagu Kebansaan dan Jalur Gemilang haruslah dikikis supaya tidak menjadi ikutan pada generasi yang akan datang. Cuba renung-renungkan sejenak, peristiwa yang pernah dilalui sewaktu negara kita sedang menujuk ke arah mencapai Kemerdekaan.