Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Punca Isteri Dijangkiti HIV

03.29.2012 · Posted in Isu Masyarakat

Hubungan seks di antara lelaki sama lelaki atau dikenali sebagai gay dikatakan lebih berisiko terhadap jangkitan virus HIV, sekalipun hubungan seks normal antara lelaki dan wanita turut berisiko, apatah lagi jika ia dengan berbilang pasangan.

Ia dikatakan lebih berisiko kerana hubungan seks melalui dubur boleh memerangkap kuman pada kemaluan lelaki dan ia mudah dipindahkan kepada pasangan lain jika hubungan seks dilakukan. Sehingga kini peningkatan jumlah golongan gay dengan HIV positif dan statistiknya kian meningkat dalam lima tahun kebelakangan ini sejak dari tahun 2007.

Corak peningkatan golongan gay dan HIV positif kian meningkat dan ini telah menjadi isu yang amat membimbangkan kerana sekalipun mereka mengubah corak hidup kehidupan daripada gay kepada lelaki normal, mereka masih mampu menyebarkan virus terbabit.

Sejak kebelakangan ini aktiviti gay dilihat kian menular, malah berlaku dalam kalangan lelaki yang sudah berumah tangga dan mempunyai ramai anak. Lelaki yang berkerjaya profesional lebih cenderung terbabit dalam hubungan sejenis berbanding lelaki yang mempunyai kerjaya sederhana dan ia turut diamalkan golongan pembimbing agama yang dilihat alim pada zahirnya.

Lebih menyedihkan lagi, aktiviti ‘ percintaan ‘ mereka disembunyikan daripada pengetahuan isteri sehingga bertahun lamanya dan tembelang mereka terbuka apabila isteri didapati HIV positif. Kini terdapat kira-kira 800 orang wanita yang sudah berkahwin didapati HIV positif selepas bersama suami yang dipercayai lebih cenderung melakukan hubungan seks dengan lebih daripada seorang.

Hubungan sejenis si suami dengan pasangan mereka yang positif HIV secara tidak langsung boleh menjangkiti isteri mereka. Kini kegiatan seks songsang adalah antara penyumbang kepada penularan virus HIV dan jika tidak dibendung ia boleh menjadi wabak yang perlu ditangani oleh semua lapisan masyarakat.

Kerajaan kini menegaskan bahawa masih tiada lagi peruntukan undang-undang untuk golongan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) melakukan hubungan itu secara terbuka, apatah lagi melakukan perkahwinan sejenis. Gaya hidup yang mereka amalkan boleh menjuruskan mereka kepada masalah sosial seperti penyebaran penyakit berjangkit, virus HIV, pelacuran, dadah, kecelaruan psikologi dan mental.

Sejak akhir-akhir ini, golongan gay semakin berani bersuara terutamanya dalam memperjuangkan hak antara masyarakat normal dan kehendak naluri mereka yang melampaui batas. Komunikasi antara mereka menjadi lebih mudah dengan wujudnya kemudahan internet dan laman sosial seperti Facebook, Yahoo Messenger serta Laman blog.

Menerusi kemudahan itu, golongan gay terbabit mudah untuk mencari pasangan yang mereka rasakan sesuai. Mereka hanya perlu berkenalan dan mengambil sedikit masa untuk saling mengenali antara satu sama lain yang akhirnya membawa mereka hingga melakukan hubungan seksual.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup