Pil Perangsang Seks Berbahaya

Kementerian Kesihatan kini telah mengesan sekurang-kurangnya 10 jenama pil perangsang seks yang berbahaya kerana mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan hati dan alat kelamin lelaki dalam jangka panjang.
Pil perangsang seks berkenaan didapati telah dijual secara berleluasa di negeri Perak dengan harga serendah RM5 sekotak yang dipercayai diseludup dari negara jiran, Indonesia. Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa pil-pil berkenaan mengandungi bahan kimia beracun iaitu fosfodiesterase (PDE), analogsildenafil dan tadalafi yang telah dicampurkan secara sewenang-wenangnya di dalam ‘ ubat kuat ‘ berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai penjual produk haram tersebut kerana kandungan yang terdapat di dalam setiap produk tersebut adalah tidak benar sama sekali. Tidak wujud unsur kandungan semula jadi di dalam setiap produk tersebut seperti ginseng, herba atau Tongkat Ali sebagaimana yang didakwa oleh penjual pil perangsang seks haram tersebut.
Kajian yang telah dilakukan oleh makmal kesihatan sebelum ini jelas menunjukkan bahawa pil-pil tersebut hanya mengandungi bahan kimia yang berbahaya serta boleh memudaratkan kesihatan kepada pengguna. Kesan buruk terhadap penggunaan pil perangsang seks tersebut pernah berlaku di Singapura dan hampir meragut nyawa empat lelaki baru-baru ini setelah mereka mengambilnya.
Kerajaan amat memandang serius terhadap penularan produk-produk berbahaya terutamanya pil-pil perangsang seks haram kerana ianya sering mendapat permintaan yang tinggi. Atas permintaan yang tinggi tersebut, para pengedar serta penjual akan sentiasa mengambil jalan mudah untuk mengaut keuntungan yang tinggi dengan menyeludup produk-produk tersebut untuk pasaran tempatan.
Kebanyakan penjual produk perangsang seks itu bijak menggunakan kata-kata memikat terhadap pengguna seperti ‘ produk ini 5 kali lebih bertenaga ‘, ‘ kuat seperti harimau, ‘ tahan lebih lama ‘ dan pelbagai slogan lain yang dianggap mampu menjerat pengguna. Antara pil-pil perangsang seks haram yang dikenal pasti adalah seperti Power 1 Walnut, Santi Bovine dan Cialis palsu.
Justeru, penjualan serta pengedaran pil-pil perangsang seks berbahaya ini wajib dibanteras dengan segera demi keselamatan pengguna kerana rata-rata pengguna memang tidak arif tentang produk-produk yang berbahaya sebegini melainkan suka mencuba sesuatu yang baru yang dianggap berkesan pada diri mereka.