Perusuh Wajar Dihukum

Siapakah BERSIH itu sebenarnya? Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus atau bersih, bagaimana pula pembangkang dapat menawan tiga negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu? Butakah penglihatan mereka? Kerajaan sudah membenarkan serta memberi tempat perhimpunan untuk mereka ‘bersihkan’ diri mereka, tetapi mereka menolak.
BERSIH sebenarnya adalah perusuh. Merusuh memusnahkan harta benda kerajaan, menyusahkan masyarakat yang lain dan diri sendiri untuk dijadikan kuda tunggangan pihak yang mempunyai tipu muslihat tersendiri yang ingin merampas kuasa secara ganas seperti yang pernah berlaku di negara-negara Islam yang lain. Tunggulah pilihan raya, jika mereka benar-benar bersih, bukannya merusuh di jalanan seperti orang yang sudah dirasuk.
Kerajaan sewajarnya mengambil tindakan yang lebih tegas, mendakwa mereka-mereka yang begitu biadap dan berani sekali melawan, memukul, menendang anggota polis serta merosakkan kenderaan pasukan keselamatan itu tanpa sedikit pun ada perasaan belas kasihan. Jika polis yang bertindak sedemikian, itu atas bidang kuasa mereka. Mereka menjalankan tugas yang telah diamanahkan demi keselamatan seluruh rakyat di Malaysia.
Adalah wajar bagi mereka yang merusuh diberi pengajaran di penjara dan disebat. Jika ada pelajar yang terbabit sama, batalkan biasiswa mereka dan keluarkan mereka daripada universiti agar dapat memberi pengajaran yang cukup bermakna. Buat apa hendak disimpan lalang jika tiada hasilnya.
Mungkin mereka itu boleh terus bekerja dengan menjadi perusuh kekal yang tidak perlu mempunyai apa-apa sijil kelayakan dengan mendapat upah tanpa memikirkan musibah yang akan menimpa diri dikemudian hari. Gambar yang menunjukkan samseng terbabit yang menyerang dan menendang anggota polis adalah perbuatan yang tidak bertamadun. Sebagai orang Melayu, inikah budaya kita?.
Tingkah laku mereka adalah lebih teruk daripada gangster. Malah, alim ulama juga turut menyokong. Apa hendak jadi dengan orang Islam zaman ini?. Ulama pun sudah gila kuasa. Siapakah yang sebenarnya perosak masyarakat di negara ini?