Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Pengaruh Rancangan Kartun

03.20.2012 · Posted in Sosial Dan Hiburan

Minda kanak-kanak kini berada pada satu tahap paling mudah dipengaruhi. Mereka terima apa saja yang dipertontonkan dan akan mempraktikkan apa yang dilihat dan dengar. Kerana itu, pada peringkat ini ibu bapa dan masyarakat perlu berhati-hati dalam menghidangkan pengisian untuk minda mereka.

Kini pelbagai bentuk rancangan di televisyen akhir-akhir ini terutamanya dalam bentuk hiburan dan kartun, konsep serta bahasa yang digunakan dilihat lebih condong kepada elemen negatif yang mungkin mendorong kanak-kanak meniru gaya bahasa, perbuatan dan aksi yang ditayangkan.

Rata-rata kanak-kanak dalam usia diantara empat hingga lapan tahun gemar menonton rancangan seperti Ultraman, spiderman, superman dan banyak lagi selain kartun yang sudah dialih bahasanya tetapi menggunakan kosa kata atau ayat yang dirasakan kurang sesuai pada usia mereka. Akibat daripada pengaruh rancangan tersebut, tanpa sedar anak kecil ini sedikit demi sedikit meniru aksi dipertontonkan atau sesekali mengeluarkan ayat kasar dan kurang enak bunyinya. Dari mana mereka belajar jika bukan daripada rancangan televisyen yang mereka tonton saban hari.

Kanak-kanak di zaman ini pula tidak seperti orang dahulu yang mengisi masa lapang dengan bermain congkak, batu seremban, galah panjang, layang-layang dan sebagainya tetapi lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen sehingga berjam-jam lamanya setiap hari. Justeru,tidak mustahil rancangan itulah yang mempengaruhi mereka selama ini.

Jika diteliti semua rancangan yang mereka suka tonton, ia lebih bercorak negatif dan tidak sesuai sebenarnya ditonton oleh kanak-kanak seusia itu. Jika ada pun rancangan kartun yang diselitkan pengajaran baik hanyalah rancangan kartun Upin dan Ipin tetapi itu pun dihimpit puluhan lagi rancangan kartun dari Barat.

Kanak-kanak seawal usia itu sudah pun dihidangkan dengan aksi berahi, peluk cium dan pakaian seksi dalam rancangan kartun, sekali gus menjadi ikutan terbaik untuk mereka. Ibu bapa pula tidak banyak masa untuk mengimbangi apa yang kanak-kanak tonton dengan pelajaran lain yang lebih berfaedah.

Lantaran itu, sudahnya kanak-kanak ini akan membesar dengan jiwa dan minda yang dipenuhi dengan elemen negatif sepanjang tempoh kritikal ini. Tidak mustahil juaga, ia akan menjurus mereka menjadi terlalu terbuka dan mengundang keruntuhan moral dalam kalangan mereka ketika remaja. Sewajarnya semua pihak harus sedar mengenai perkara ini dan melihat sejauh mana keruntuhan moral yang berlaku akhir-akhir ini.

Pengusaha syarikat penyiaran perlu lebih peka untuk tidak terlalu banyak menghidangkan elemen negatif sebagai sajian kanak-kanak. Paling utama, ibu bapa perlu memainkan lebih peranan dalam menyedari risiko keruntuhan akhlak anak mereka sendiri.

Bukan diminta sekat semua rancangan sebegitu tetapi cukup sekadar peka dan kaji semula yang mana sesuai dan yang mana pula sebaliknya. Banyak lagi dokumentari dan rancangan yang lebih sesuai serta menarik yang turut diselitkan dengan elemen yang lebih positif. Jangan terlalu memikirkan keuntungan semata-mata tanpa menjengah sama nilai didikan moral masyarakat.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup