Pengaruh Laman Sosial Facebook
Melayari Facebook untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan, berkongsi gambar dan maklumat, memang sesuatu yang mengasyikkan. Statistik menyatakan bahawa laman sosial Facebook kini memiliki kira-kira 800 juta pengguna aktif dengan separuh daripadanya melayari laman sosial itu setiap hari. Tidak hairanlah jika beribu pelajar di Malaysia kini dikatakan terkena penyakit ketagihan Facebook.
Antara keutamaan yang biasa dilakukan oleh pengguna Facebook ialah berkongsi sesuatu maklumat yang dirasakan menarik dan boleh merangsang lebih banyak komen daripada rakan dengan hanya menekan butang share.
Ketagihan Facebook ini dikhuatiri boleh menyebabkan penggantungan kepada maklumat yang disalurkan, sehinggakan pengguna boleh mempercayai tentang maklumat yang dikongsi tanpa usul periksa. Berita tentang seorang ibu yang melahirkan 11 orang anak sekali gus di sebuah hospital dikongsi dengan cepat oleh pengguna Facebook dan pembacanya yang rata-rata mempercayainya serta melahirkan rasa kagum di atas pekara yang dianggap ajaib itu.
Walaupun berita itu kemudiannya didapati telah dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, penyebaran tentang berita kepalsuan itu masih lagi berterusan dan ramai yang sudah tertipu dengan maklumat berkenaan. Beberapa hadis palsu juga turut disiarkan di dalam Facebook. Itu belum lagi gambar yang dikongsi tetapi fakta asalnya telah dipalsukan dan gambar yang dicuri daripada laman sosial seseorang dan disebarkan selepas diubah atau selepas maklumat mengenainya telah dipalsukan.
Ada yang mendakwa akaun Facebook mereka telah digodam dan komen membinasakan seperti menghina agama yang mereka tulis di laman sosial itu bukan dilakukan oleh mereka, tidak kurang juga yang mendakwa gambar mereka telah dicuri, diubah dengan menggunakan perisaian photoshop serta disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Yang pasti, tidak semua yang dibaca di laman sosial adalah maklumat yang benar lagi sahih dan Facebook secara tidak langsung boleh menjadi senjata yang berbahaya bagi mereka yang berniat jahat dan menyebarkan fitnah untuk tujuan memalukan seseorang.
Tidak kurang juga yang memanipulasikan fakta atau imej untuk tujuan mengelirukan orang ramai atau mencetuskan kemarahan serta persepsi negatif melalui idea, ideologi dan propaganda yang tertentu.
Mungkin ramai tidak menyedari, perbuatan seperti ini boleh dikategorikan sebagai jenayah siber walaupun pelaku tersebut berada beribu-ribu batu jauhnya daripada sasaran mereka. Antara kategori jenayah siber yang menular melalui Facebook ialah penipuan, skim cepat kaya serta penyebaran virus, menghina agama dan raja, sentimen perkauman dan pelanggaran hak cipta.
Pengguna Facebook di kalangan pelajar sekolah juga boleh dikaitkan dengan isu keselamatan siber kanak-kanak seperti gangguan siber, buli dan pornografi. Di Malaysia, kesalahan ini boleh didakwa mengikut beberapa akta berkaitan, termasuk Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Jualan Langsung 1993.
Pengguna Facebook disarankan agar menggunakan laman sosial tersebut dengan penuh adab dan etika untuk menjaga sensitiviti serta keharmonian bersama. Pendekatan self-censorship boleh digunakan sebagai antara usaha membendung daripada berlaku kejadian yang tidak diingini, selain membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia jika jenayah siber sudah berlaku.
Facebook hanyalah satu rangkaian komunikasi dan kita bertanggungjawab di atas kebaikan atau kemudaratan yang dibawanya.
