Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Nafsu

04.14.2012 · Posted in Isu Masyarakat

Manusia makhluk paling istimewa berbanding ciptaan Allah SWT yang lain. Keistimewaan dan kemuliaan itu jauh lebih tinggi berbanding maklaikat yang diciptakan daripada nur dan iblis yang diciptakan daripada api walaupun masing-masing mempunyai tugas yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Mencipta.

Manusia lebih mulia daripada segala ciptaan lain di muka bumi yang secara fizikalnya lebih gagah dan perkasa. Manusia sanggup memikul amanah untuk menjadi khalifah selepas tugas tersebut ditolak oleh langit, bumi serta gunung-ganang.

Justeru, dengan segala keistimewaan yang ada, manusia tidak sepatutnya menjatuhkan kedudukan yang begitu mulia dengan bertindak melampaui batas, nekad merubah ciptaan terbaik Allah SWT semata-mata mengikut naluri songsang.

Perbuatan oleh golongan pengkid yang sanggup mengadai nyawa dan kehormatan diri untuk berpewatakan seperti lelaki dan mempunyai teman wanita adalah perbuatan merubah ciptaan Tuhan yang menyebabkan dosa kaum Nabi Luth AS semakin mendapat tempat di hati segelintir masyarakat Timur.

Begitu juga bagi golongan gay dan lesbian yang hanya berminat dengan pasangan sejenis juga menyalahi fitrah semula jadi manusia yang diciptakan berpasang-pasangan serta berlainan jantina. Jika diteliti pada setiap daripada keunikan ciptaan Tuhan, ada tanda kebesaran seharusnya mendorong manusia hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT, bukan menurut runtuhan nafsu yang merosakkan.

Ada segelintir manusia yang sengaja menjadi dirinya sebagai bahan eksplotasi lalu sanggup memperagakan diri dengan berpakaian menjolok mata, menjadi penari tiang dengan pelbagai aksi yang mengghairahkan serta ada yang menjadi pelacur murahan semata-mata inginkan habuan haram lumayan yang disediakan oleh pihak tertentu. Semua ini boleh dijadikan petanda menunjukkan nilai manusiawi sudah mula luntur dan hilang ditelan arus modenisasi zaman.

Manusia dibekalkan akal fikiran yang sempurna sehingga berupaya berfikir dan menilai yang mana baik dan yang mana buruk berteraskan wahyu Ilahi. Namun, akibat tidak mampu menggunakan akal dengan sebaiknya, manusia mula tejerumus ke lembah kehinaan dan menjadi penghuni neraka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati ( tetapi ) tidak mahu memahami dengannya ( ayat-ayat Allah ), dan yang mempunyai mata ( tetapi ) tidak mahu melihat dengannya ( bukti keesaan Allah ) dan yang mempunyai telinga ( tetapi ) tidak mahu mendengar dengannya ( ajaran dan nasihat ) ; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi ; mereka itulah orang yang lalai.” ( Surah al-’Araaf, ayat 179 )

Sedarlah, Islam mengangkat martabat manusia termasuk wanita ke tahap tertinggi berbanding makhluk ciptaan yang lain. Oleh itu usah dihina kedudukan manusia sehingga menjadi lebih rendah martabatnya daripada binatang yang tidak mempunyai akal tetapi masih kenal jantan dan betina.

Kebejatan gejala sosial yang terus menerus menghantui masyarakat turut memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Bayi yang tidak berdosa dibunuh dan dibuang merata-rata. Gejala moral bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan menjadi perkara biasa dan tidak dianggap berdosa. Malah laporan akhbar menyebut kegiatan menggugurkan kandungan secara haram semakin berleluasa turut menyumbang kepada dosa dan zina yang merosakkan generasi keturunan manusia.

Kegagalan manusia menggunakan segala keistimewaan kurniaan Tuhan dibimbangi akan mengundang bencana sama ada kepada diri sendiri mahupun masyarakat secara umumnya. Malah dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai penyakit sosial yang akhirnya sukar dibendung.

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat luka yang semakin hari semakin parah dan pasti sukar diubati. Sehubungan itu, setiap manusia yang dikurniakan pelbagai keistimewaan secara fitrah wajar kembali memanafaatkannya untuk menigkatkan potensi diri dan ummah secara kolektif. Di samping itu ia selayaknya digunakan untuk meningkatkan nilai peradaban manusia melalui pelbagai lapang kerjaya dan bidang kehidupan yang meletakkan kedudukan manusia mulia pada tempatnya, seraya dilimpahi pelbagai kurnia lain dan kenikmatan yang tidak berbelah bagi daripada-Nya.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup