Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Masyarakat Perlu Ambil Tahu

02.20.2012 · Posted in Isu Masyarakat

Demam denggi boleh membawa maut. Demam denggi tidak bermusim. Sudah ramai yang meninggal dunia akibat daripada demam denggi. Namun, apakah langkah yang diambil oleh pihak yang berwajib dan setiap anggota masyarakat?. Masalah denggi ini bukanlah masalah dikalangan individu. Ia adalah masalah kita sendiri serta seluruh masyarakat yang perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Jika kita menitikberatkan tentang kebersihan di rumah atau kawasan persekitaran sendiri, tetapi jiran kita pula sebaliknya, masalah ini tidak akan selesai. Sikap hanya pentingkan diri sendiri harus dikikis kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’. Nyamuk yang ‘bermastautin’ di rumah jiran kita tidak faham apa itu erti ‘menceroboh’. Kita tidak boleh menyaman jiran kita dengan alasan nyamuk yang mengigit kita itu adalah nyamuk dari ‘hasil ternakan’ dalam piring pasu bunga keladi jiran.

Apa yang dapat kita perhatikan, bermacam-macam usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk membasmi denggi tetapi macam ‘mencurah air pada daun keladi’ kerana tidak semua masyarakat ambil berat!, semuanya hanya ambil sikap duduk dan lihat, hanya mengharapkan usaha dari kerajaan baru mahu bertindak. Itulah yang membuatkan segala usaha bagi memerangi denggi didapati kurang berhasil.

Kefahaman serta kesedaran tentang bahayanya denggi amat penting. Setiap individu mempunyai peranan masing-masing, baik ketika berada di rumah mahupun di kawasan persekitaran. Media cetak dan elektronik boleh menjadi teraju utama dalam menguar-uarkan mesej kempen anti Aedes kepada seluruh masyarakat terutamanya di kawasan yang sering dilanda wabak terbabit.

Pelajar di sekolah juga perlu diberi didikan mengenai pekara ini dengan lebih berkesan. Jangan sampai apabila ia membabitkan orang yang kita sayangi, barulah kita tersedar daripada tidur lena yang panjang.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup