Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Lemak Undang Risiko Penyakit

03.08.2012 · Posted in Sudut Kesihatan

Pengumpulan lemak pada pinggang biasanya lebih ketara kerana peningkatan usia terutamanya selepas menopaus. Selepas menopaus, lokasi pengumpulan lemak berpindah di bawah lengan, paha dan pinggul ke pinggang.

Berita baiknya, tidak kira apa pun bentuk badan, apabila anda bersenam secara teratur dan menjaga cara pemakanan, bahagian paling cepat susut dan hilang ialah lemak di bahagian pinggang. Lemak pada bahagian lain akan menyusul kemudian.

Mengapa perlu hilangkan lemak di bahagian pinggang?. Lemak di bahagian pinggang atau kegemukan sentral ( tengah ) adalah petanda kurang baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

Lemak ini dipanggil lemak viseral. Cuba cubit lemak di pinggang anda. Lemak yang boleh dipengang ini dinamakan lemak subkutaneus iaitu lemak di bawah kulit.

Lemak viseral ialah lemak yang kita tidak dapat lihat yang terkumpul di keliling organ. Orang yang gemuk biasanya mempunyai banyak lemak yang mengisi ruang di antara dan mengelilingi organ. Ia perlu ‘ dihilangkan ‘ kerana boleh menjejaskan fungsi organ dan dalam kes serius, ia boleh menyebabkan organ gagal berfungsi.

Lemak viseral dikaitkan dengan masalah kolesterol tinggi, trigliserida tinggi, tekanan darah tinggi dan terlalu banyak insulin. Pakar perubatan juga menggelarnya ‘ lemak pembunuh ‘. Pakar perubatan mengesahkan bahawa lemak di pinggang lebih berbahaya berbanding lemak di bahagian lain. Lemak viseral meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat:

- Penyakit Jantung
- Kencing manis
- Sindrom metabolik
- Masalah pundi kencing
- Tekanan darah tinggi
- Kanser usus
- Merangsang keradangan
- Dikaitkan dengan proses saluran darah sumbat dan mengeras ( menyebabkan lebih mudah mengalami masalah jantung )

Malaysia menjadi syurga makanan dan menikmati kepelbagaian makanan yang ada adalah antara aktiviti yang paling digemari. Kesan jangka panjang makan berlebihan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan obesiti. Justeru, amalan pemakanan yang sihat serta aktiviti bersenam dapat menghindari daripada gejala tersebut.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup