Kisah Pembunuhan Dirang

Kisah pembunuhan kejam Dirang wajar untuk dijadikan pengajaran kepada seluruh ibu bapa sekalian agar lebih memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap anak-anak terutamanya dalam soal keselamatan kerana anak adalah amanah kepada kita sebagai ibu dan bapa.
Al-Fatihah buat Allahyarham adik Nurul Nadirah Abdullah dan pastinya hingga ke saat ini seluruh masyarakat di Malaysia tidak akan terlepas mendoakan perjalanan yang abadi bagi kanak-kanak malang ini.
Kini, tiada lagi aksi tawa dan keletahan Dirang. Menangis air mata darah sekali pun, Dirang tidak akan kembali lagi. Maka dengan itu, keluarga Dirang khususnya harus meredakan kepemergianya walaupun tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Semenjak berita tentang kehilangan Dirang mula tersiar di media masa dan elektronik pada awal bulan ini, tentu sekali antara sedar atau tidak, ada yang diselubungi perasaan marah dan sedih. Marah tentunya kerana anak kecil yang baru berusia lima tahun itu sudah diberi tanggungjawab untuk berdikari. Dengan berbekalkan RM4, Dirang sudah disuruh ke kedai sendirian untuk membeli mi segera dan telur.
Ramai masyarakat terutamanya kaum ibu yang mempunyai anak yang sebaya dengan Dirang marah kepada pihak yang meminta Dirang pergi ke kedai bersendirian tanpa pengawasan, sedangkan pada usia yang terlalu muda, Dirang sepatutnya berada di rumah bermain, melukis, mewarna, mengeja dan menonton kartun bersama abangnya, Mohd Hafis, 6 tahun, yang dikhabarkan sering jatuh sakit sejak adiknya tidak pulang ke rumah.
Apabila mengingatkan perlakuan syaitan yang bertopengkan manusia yang tergamak membunuh dan membakar anak kecil yang tidak berdosa itu, timbul pula perasaan marah, geram serta hati yang memberontak ingin mencari dan mengetahui siapakan yang terlibat dalam jenayah yang sama sekali tidak berperikemanusiaan. Mengapa mereka tergamak menculik serta membunuhnya tanpa belas kasihan?. Lebih kejam, mereka tergamak membakarnya. Apakah dosa Dirang sehingga nasib yang diterimanya cukup menyayatkan hati?.
Persoalannya, apakah ini kesudahan yang akan dilalui oleh mangsa kes kanak-kanak yang hilang di negara ini?. Tentu sekali kita akan memilih tidak sebagai jawapannya. Namun, timbul pula persoalan seterusnya, apakah kita mampu menghalang kejadian yang sama daripada berulang dan siapakah yang wajar dipertanggungjawabkan?.
Cuba kita renungkan seketika di saat-saat cemas yang dilalui Dirang. Apakah kanak-kanak ini didera secara seksual?. Bagaimana pula keadaan mangsa sewaktu menghadapi saat-saat kematian ketika dibunuh?. Apakah si kecil ini sudah tidak bernyawa atau dapat merasai kesakitan yang teramat ketika tubuhnya dibakar oleh pelaku yang tidak berperikemanusiaan itu?.
Walaupun pada usia lima tahun, ada kanak-kanak yang sudah mengenal duit, pengawasan perlu sentiasa dilakukan selagi tidak hilang dari pandangan dan jangan sesekali biarkan mereka bersendirian walapun di mana-mana sahaja termasuk ketika berada di padang permainan.
Jangan anggap pengawasan ini amat keterlaluan kerana kita tidak tahu tentang bahaya yang berada disekeliling serta identiti sebenar si pelaku jenayah termasuk penderaan seksual yang membawa kepada tindakan yang lebih kejam seperti membunuh. Perlu diingat, di dalam kehidupan masyarakat kini, ada ramai yang mengalami sakit mental tanpa kita sedari siapa. Justeru, kesedaran semua pihak amat-amat diperlukan supaya sentiasa berwaspada dalam apa jua situasi.
Oleh itu, jangan sekali-kali biarkan kejadian yang menimpa Dirang berulang dan seharusnya kita semua belajar daripada kesilapan yang lalu.