Khutbah Politik

Apakah khutbah Jumaat untuk kepentingan politik semata-mata? Ini adalah satu persoalan yang sering difikirkan selepas selesai solat Jumaat di sebuah masjid di daerah Sik, Kedah. Adakah patut dalam khutbah berkenaan mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara pengeksport judi terbesar di dunia.
Khatib juga mendakwa bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai haram kerana mengenakan riba. Penulis yakin bahawa khutbah itu sebenarnya dikarang sendiri oleh khatib yang bertugas kerana isu tersebut di luar bidang agama. Ia hanya dakyah politik semata-mata untuk memburukkan kerajaan yang sedia ada.
Penulis amat sedih kerana khatib itu juga adalah pegawai kerajaan yang sepatutnya menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya tetapi apa yang berlaku adalah amat-amat mengecewakan.
Rakyat sebenarnya berhak mengkritik sesebuah kerajaan tetapi bukan dengan cara sedemikian melalui khutbah Jumaat yang tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk membela diri.
Bukankah negara kita ada pentas untuk membahaskan perkara yang berkaitan di dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri? Penulis tidak kisah jika tuduhan itu dilemparkan di pentas ceramah politik tetapi apa yang dikesalkan adalah memperalatkan masjid untuk kepentingan politik.
Setiap khatib dan pihak yang membuat teks khutbah di Malaysia mempunyai amanah supaya memelihara kekuatan ummah. Jangan memandai-mandai menokok tambah sehingga boleh mengelirukan orang ramai. Jika mereka tidak mampu memikul tanggungjawab serta amanah yang diberikan, hendaklah berundur. Ini adalah lebih baik daripada menanggung dosa besar iaitu fitnah-memfitnah dan amalan benci-membenci di dalam khutbah di masjid.
Masalah umat Islam hari ini terlalu kompleks kerana mereka sendiri seperti merosakkan agama sendiri. Berpolitik tidak salah, yang salah adalah menggunakan agama semata-mata untuk tujuan memfitnah. Sampai bila hal sedemikian tidak akan selesai sekiranya umat Islam di negara ini tidak bersatu-padu.