Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Kerajaan Bantu Sektor Swasta

05.05.2012 · Posted in Isu Semasa

Setiap tahun iaitu pada 1 Mei, Sambutan Hari Pekerja dan cuti umum akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia. Hari Pekerja merupakan hari penting kepada kita semua kerana ia menandakan pengiktirafan besar terhadap segala sumbangan dan peranan semua golongan pekerja di negara ini.

Pekerja di negara kita terdiri daripada beberapa kategori utama iaitu penjawat awam, swasta dan yang bekerja sendiri. Ketiga-tiga kumpulan pekerja ini adalah kelompok utama yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pembangunan negara secara keseluruhannya. Kelompok pekerja ini mempunyai peranan yang besar dalam menentukan jatuh bangun dan hala tuju negara kita.

Bagi penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta orang misalnya, sudah tentu isu pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) serta penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) menyaksikan kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus berdasarkan gred.

Dalam pada itu, mulai tahun ini juga semua penjawat awam akan diberi pilihan untuk melanjutkan usia pesaraan wajib sehingga umur 60 tahun berbanding 58 tahun sebelum ini. Dalam hal ini, ternyata Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berjaya memainkan peranan penting sebagai benteng terakhir pekerja dalam memperjuangkan hak dan kebajikan seluruh penjawat awam.

Bagi pekerja di sektor swasta pula, isu gaji minimum dan lanjutan usia pesaraan terus menjadi agenda utama. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai kesatuan sekerja terbesar yang mewakili pekerja sektor swasta di negara ini terus memperjuangkan isu gaji minimum ini. Hasilnya, Perdana Menteri kita telah mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta iaitu sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 sebulan atau RM3.85 sejam. Dengan pengumuman tersebut maka berakhirlah segala teka-teki tentang isu yang sering diperjuangkan oleh pekerja sektor swasta.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup