Keldai Internet

Ramai wanita di Malaysia telah diperalatkan sebagai keldai dadah oleh sindiket antarabangsa yang di dalangi oleh warga Afrika. Sering kali kita mendengar dan melihat kes-kes seumpama itu di dada-dada akhbar dan media elektronik. Akibat mudah terpengaruh dengan layanan yang istimewa, wang ringgit serta janji manis daripada lelaki warga Afrika, wanita tempatan kita mudah lupa, akhirnya mereka terperangkap.
Sindiket tersebut bukan saja berjaya memperalatkan mangsa untuk menjadi keldai dadah malah telah berjaya mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit hasil daripada kesilapan kita sendiri yang selalu berfikiran ‘ tamak ‘ akan harta duniawi. Kita perlu sedar akan perkara ini kerana berfikiran cetek inilah yang menyebabkan ramai di kalangan wanita tempatan kita telah meringkuk dalam penjara di beberapa negara di dunia.
Tidak hanya setakat menjadi keldai dadah, kini muncul pula ancaman terbaru dari sindiket terbabit yang memperalatkan wanita tempatan untuk menjadi keldai siber. Kes yang hampir sama seperti keldai dadah, cuma kali ini sindiket yang di dalangi oleh warga Nigeria hanya memperalatkan wanita tempatan bertujuan untuk melakukan penipuan di internet.
Romeo Afrika ini bijak menyusun strategi bagi memerangkap wanita Malaysia. Mereka pandai ‘ berlakon ‘ semata-mata untuk mengambil hati wanita Malaysia sehingga membuatkan mangsa jatuh cinta dan sanggup berkahwin dengan mereka. Untuk lebih menyakinkan mangsa, mereka sanggup memeluk agama Islam bagi meyakinkan wanita Malaysia terbabit bahawa mereka benar-benar cinta dan mahu berkahwin dengan mangsa.
Semua ini hanyalah tipu muslihat mereka kerana tujuan sebenarnya hanyalah ingin menggunakan akaun internet dan akaun bank wanita terbabit untuk mempelbagaikan kegiatan penipuan secara online di seluruh dunia. Ini telah terbukti apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman telah menjalankan siasatan terhadap enam kes penipuan awal tahun ini dan mendapati semua akaun bank tersebut dimiliki oleh wanita tempatan yang disyaki ada menjalin hubungan dengan anggota sindiket terbabit yang melibatkan warga Nigeria.
Dalam operasi penipuan yang di dalangi oleh warga Nigeria terbabit, mereka akan menggodam e-mel syarikat antarabangsa yang dikenal pasti mengandungi maklumat sulit berkaitan transaksi perniagaan dan seterusnya akan menghubungi syarikat itu selepas membuka e-mel paslu yang dicipta. Selepas berjaya meyakinkan mangsa, anggota sindiket terbabit akan mengambil alih urus niaga dan menghantar e-mel mengarahkan pembeli memasukkan wang ke dalam akaun bank milik wanita tempatan yang didaftarkan di Malaysia.
Justeru, kegiatan penipuan oleh warga Afrika ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan rakyat Malaysia dan secara tidak langsung mengheret mereka menjadi penjenayah. Selain penguatkuasaan oleh polis dan Jabatan Imigresen, orang ramai hendaklah memastikan mereka tidak begitu mudah diperdaya oleh pujuk rayu dan janji kosong warga Afrika terbabit.
Sejak Januari lalu, sudah enam kes telah dilapor berlaku membabitkan 10 wanita tempatan dengan kerugian jutaan ringgit dan kes terbaru membabitkan ibu tunggal berusia 34 tahun yang ditahan di Johor Bahru bersama lelaki Nigeria yang didakwa suaminya. Walaupun sebelum ini media massa heboh melaporkan mengenai kes keldai dadah membabitkan warga Afrika, wanita Malaysia nampaknya seolah-olah tidak serik dengan kejadian berkenaan.
Persoalannya, mengapa mereka sangat mudah terpengaruh dan masih sanggup melayan pujuk rayu lelaki warga Afrika terbabit sehingga terjebak dalam kes penipuan pada peringkat antarabangsa. Kita berharap pendedahan yang dibuat oleh polis ini dapat memberi sedikit sebanyak pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama wanita supaya lebih berhati-hati ketika berurusan dengan lelaki yang tidak dikenali terutamanya melibatkan warga asing. Jangan sampai ‘ nasi sudah menjadi bubur ‘ , sesal kemudian sudah tidak berguna.
Allah SWT mengurniakan setiap manusia dengan akal dan fikiran yang tidak ternilai. Dari kecil hingga dewasa kita diasuh agar mengenal yang mana baik dan yang mana buruk. Memang benar kata pepatah, ‘ manusia tamak selalunya rugi ‘.