Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Jerebu Ancam Kesihatan

06.24.2012 · Posted in Sudut Kesihatan

Beberapa hari kebelakangan ini kita disajikan pelbagai berita mengenai jerebu yang berpunca daripada pembakaran hutan tanah gambut di Sumatera, Indonesia.

Jerebu adalah partikel halus seperti debu, asap dan bahan pencemar lain yang terapung di udara, bukan saja boleh menjejaskan jarak penglihatan mata, malahan boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Selain itu, kanak-kanak, perokok dan orang tua turut juga menerima kesan buruknya. Bagi golongan lain, antara kesan buruk akibat jerebu ialah sakit kerongkong, batuk, sukar bernafas atau hidung tersumbat, gatal-gatal kulit dan gatal atau pedih mata.

Untuk melindungi diri kita daripada kesan terbabit, kita perlu mengamalkan perkara berikut seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

- Pertama

Mereka yang menghidap penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah segera ke klinik jika keadaan penyakit bertambah buruk. Golongan berisiko tinggi seperti ini hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

- Kedua

Penutup hidung hendaklah sentiasa digunakan semasa menunggang dan membonceng motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan adalah mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

- Ketiga

Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit berkaitan pernafasan hendaklah mengelak daripada merokok di dalam rumah.

- Keempat

Seberapa boleh orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam rumah atau bangunan. Cuba kurangkan aktiviti riadah atau bersukan di luar rumah.

- Kelima

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih sekerap yang mungkin. Sentiasalah minum air yang banyak.

- Keenam

Jika memandu atau menaiki kenderaan, hidupkan pendingin hawa kenderaan.

Selain daripada itu, kita juga hendaklah mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka serta mengikuti perkembangan semasa mengenai tahap jerebu melalui media massa.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup