Isu Warga Asing Di Malaysia

Isu warga asing di Malaysia bukalah suatu perkara yang baru. Terbaru, media tempatan telah melaporkan tentang masalah sosial yang melibatkan warga asing di Kuala Lumpur dan Selangor, kawasan lain tidak terkecuali menerima tempiasnya. Butterworth, Batu Pahat dan Cameron Highlands sentiasa dipenuhi oleh warga asing terutamanya pada musim perayaan.
Usaha untuk mengurangkan jumlah buruh asing yang kebanyakannya tidak mahir dan separuh mahir memerlukan tindakan secara bertahap agar tidak merencatkan kadar pembangunan negara.
Beberapa langkah drastik seperti mewujudkan kementerian khusus dan pelan pengurangan pekerja asing perlu segera diambil. Sasaran perlu diletakkan, contohnya menjelang tahun 2015 jumlah pekerja asing disasarkan dapat dikurangkan sehingga sejuta orang. Dengan adanya menteri yang bertanggungjawab, rakyat pasti akan tahu segala perancangan serta hasilnya.
Belia yang gagal melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi perlu dipastikan mempunyai pekerjaan agar dapat membendung masalah pengangguran serta mengelakan masalah sosial. Peruntukan besar perlu dibuat bagi membina lebih banyak pusat latihan dan akademi yang mampu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi bagi mengantikan pekerja asing di sektor domestik, pembinaan, perindustrian dan perladangan.
Jika perlu, ubah beberapa nama pekerja agar dapat menarik golongan muda menyertainya seperti buruh kasar ditukar kepada pembantu binaan/ jurubina dan amah kepada pengurus kediaman. Jika syarikat pembekal pekerja asing mampu membawa pekerja asing ke sini, mengapa syarikat ini tidak mampu membuat usaha yang sama dengan pusat latihan kemahiran dalam menyediakan pekerja tempatan.
Kita mencadangkan agar dasar rakyat Malaysia dihidupkan kembali, insentif perlu diberi kepada keluarga yang memiliki jumlah anak yang ramai. Bekas perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin yang memiliki visi yang jauh ke depan. Bilangan rakyat yang ramai dapat menjadi pasaran menguntungkan bagi pasaran produk dan perkhidmatan serta yang paling penting ialah mampu untuk menyediakan sumber tenaga manusia yang stabil tanpa perlu mengharapkan kepada tenaga pekerja asing.
Selain langkah pengurangan di atas, kita juga berharap agar pihak berkuasa dapat memantau kehadiran jutaan pekerja asing agar tidak menimbulkan masalah kepada warga tempatan. Perlu ada peraturan yang melarang pekerja asing berniaga atau bekerja sendiri di negara ini serta tidak dibenarkan individu berkahwin dengan rakyat tempatan.
Diharap kerajaan tidak mengutamakan kepentingan majikan sahaja tetapi juga memahami masalah rakyat yang kini telah diliputi oleh jutaan pendatang asing di sekeliling mereka. Tindakan tegas agensi penguatkuasa dapat membantu mengurangkan kemasukan warga asing. Jika kerajaan peka, laporan yang sering disiarkan oelah media cetak dan elektronik perlu diambil berat. Lakukan operasi dengan segera dan menahan mereka yang masuk secara haram.