Isu Remaja Lari Dari Rumah

Kes kehilangan remaja perempuan kini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sejak tersebarnya kes kehilangan seorang remaja yang berusia 14 tahun yang telah diculik semasa berada di hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 31 Januari lalu, disusuli pula dengan kehilangan seorang lagi remaja perempuan pelajar Tingkatan Tiga dari Kuantan, Pahang, yang telah mendakwa dirinya telah diculik, tetapi akhirnya terbongkar apabila dia sebenarnya melarikan diri untuk bertemu kekasihnya.
Kini, timbul pula kes terbaru melibatkan seorang remaja perempuan, Nur Aliah Baharuddin, 19, berasal dari Jerantut, Pahang, yang dipercayai lari dari rumah mengikuti teman lelakinya pada malam 25 Mac lepas.
Sudah pasti ada segelintir masyarakat yang mencemuh dan tidak kurang juga yang terdahulu ‘ menghukum ‘ remaja tersebut yang dilihat kemaruk ‘ cinta monyet ‘ tanpa memperdulikan maruah dan perasaan ibu bapanya. Malah cercaan turut dilemparkan terhadap keluarganya yang disifatkan tidak pandai menjaga anak. Persoalannya, apakah wajar kita sebagai masyarakat bersikap sedemikian?.
Masalah sosial remaja yang berlaku di depan mata hari ini, bukan lagi menjadi suatu perkara yang main-main. Setiap kejadian yang berlaku ada puncanya dan kita sebagai satu komuniti masyarakat perlu segera mengatasinya. Hari ini mungkin keluarga Nur Aliah terpaksa menerima apa yang telah berlaku dan tidak mustahil, perkara yang sama akan menimpa keluarga lain sekiranya persoalan atau masalah ‘ dalaman ‘ ini tidak diendahkan.
Statistik menunjukkan, seramai 379 remaja telah terlibat dengan kes lari dari rumah pada tahun 2010. Kebanyakan mereka yang terlibat telah mengakui bahawa tekanan perasaan yang telah menyumbang kepada faktor utama mengapa mereka lari dari rumah. Selain daripada itu, ( 105 ) kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang sebaya, ( 55 ) kerana ingin bebas, ( 41 ) sering bergaduh dengan keluarga, ( 38 ) bosan dan ( 35 ) kurang mendapat perhatian atau kasih sayang.
Statistik tersebut sebenarnya bukan mencerminkan keseluruhannya. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan atau alasan demi menjaga nama baik keluarga daripada menerima aib?. Justeru, apa yang berlaku pada remaja kita pada hari ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Fenomena remaja yang melarikan diri dari rumah semata-mata kerana inginkan keseronokan yang bersifat sementara atau demi kekasih sewajarnya dapat membuka mata semua masyarakat dan seterusnya mengakui bahawa ia adalah masalah bersama.
Pihak keluarga seharusnya perlu lebih tegas dan sentiasa memantau perkembangan anak-anak mereka, dengan siapa mereka bergaul, apa yang mereka lakukan, apa masalah yang sedang dihadapi oleh mereka. Rapatkan hubungan kekeluargaan antara kita sebagai ibu dan bapa dengan anak-anak. Yang paling penting, pastikan kita ‘ teman ‘ yang setia kepada anak-anak sekiranya mereka dalam kesusahan atau sedang menghadapai sebarang masalah.