Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Peniaga Cekik Darah

08.04.2012 · Posted in Sudut Berita

Ramadan sentiasa disambut dengan kenaikan harga barang. Seolah-olah peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang lebih ketika umat Islam berpuasa dan bersiap sedia menyambut Aidilfitri. Kita begitu kesal keadaan ini kerap berlaku kerana sikap tamak mendorong peniaga cekik darah.

Harga ikan juga tidak terkecuali. Harga sekilogram ikan kembung, selar dan kerisik kini mencecah RM16. Begitu juga udang dan sotong yang berharga RM24 sekilogram. Pada hari ini wang RM50 sudah menjadi terlalu kecil, tidak cukup untuk membeli keperluan dapur dengan kenaikan harga yang luar biasa.

Bayangkanlah betapa perit kehidupan bagi sesetengah keluarga yang mempunyai ramai anak. Ia bermakna setiap keluarga akan memperuntukkan RM50 sehari untuk persediaan berbuka puasa serta bersahur dan apabila dikira untuk sebulan sudah menjangkau RM1,500. Ini bermakna juga bahawa setiap keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Klang, Kajang, Johor Baru, Pulau Pinang, Kota KinaBalu dan Kuching mesti mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

Mereka juga terpaksa menyediakan perbelanjaan anak ke sekolah, susu tepung untuk bayi, tambang dan minya kereta atau motosikal. Pelbagai bil utiliti juga perlu diambil kira tidak termasuk ansuran rumah serta kenderaan. Bayangkan kehidupan sesebuah keluarga yang berpendapatan di bawah RM1,500. Mereka dianggap miskin tegar dan tentunya menjadi mangsa keadaan ekoran daripada kenaikan harga barang.

Harga barang keperluan sebenarnya tidak dapat dibendung kerana tiada badan yang boleh menjamin bahawa harga barang tidak naik. Kita berharap agensi penguatkuasaan harga barang sentiasa memantau. Bertindak tegas dan pastikan kenaikan harga barangan dapat dielakkan.

Sering menjadi rungutan pengguna pada musim perayaan ialah kenaikan harga barang yang tidak dikawal. Jika pihak berkuasa bertindak tegas dan mengubal akta yang mensabitkan peniaga tamak sebagai penjenayah, kita yakin isu cekik darah di musim perayaan dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Bookmark and Share

1 Ulasan “Isu Peniaga Cekik Darah”

  1. Harga kian naik… hidup semakin mencekik…. sungguh dunia memang mengerikan