Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Penggunaan Bahasa Rojak

05.03.2012 · Posted in Isu Masyarakat

Penggunaan bahasa rojak di kalangan masyarakat kini kian menjadi-jadi ketika ini sehinggakan trend penggunaan bahasa basahan ini sudah sebati dalam kehidupan kita seharian.

Kita tidak nafikan penggunaan bahasa rojak ini banyak digunakan oleh golongan perniagaan atau korporat. Penggunaan bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan bahasa alam bahasa Melayu yang telah dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.

Jelas pada hari ini penggunaan bahasa rojak memperlihatkan aspek penggunaan bahasa kurang baik dengan pelanggaran kod bahasa, bahasa bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hal ini bukan saja mencemarkan bahasa Melayu yang tersedia elok dengan peraturan bahasa yang khusus dan sistem yang baik.

Dengan kepesatan ekonomi negara, bahasa Melayu terus menerima tekanan bahasa Inggeris sehinggakan masyarakat terikut-ikut dengan trend ini iaitu percampuran bahasa Melayu Inggeris pada majlis rasmi atau tidak rasmi. Dulu ilmu linguistik, bahasa rojak dikenali sebagai salah satu ragam bahasa yang disebut bahasa pijin dan ragam ini sudah sekian lama ada dalam sejarah pertumbuhan bahasa manusia.

Ditambahkan lagi, dalam ilmu sosio-linguistik pula ada peralihan kod, iaitu penggunaan unsur bahasa asing pada tempat tertentu, sama ada dalam bentuk frasa, kata dan ayat. Bahasa Melayu kaya dengan kehalusan bahasa terutamanya dalam konteks pertuturannya. Pertuturan dengan menggunakan bahasa rojak akan mengikis kesenian serta kehalusan yang sedia ada pada bahasa Melayu.

Oleh yang demikian, jika bahasa rojak terus menerus mengambil tempat dalam bahasa Melayu, tidak mustahil suatu hari nanti kesantunan bahasa Melayu juga turut terjejas dalam konteks ayat dan sistem panggilannya. Justeru, penggunaan bahasa rojak perlu dibanteras agar bahasa Melayu terus mengambil kesinambungan kegemilangannya. Cintailah bahasa Melayu.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup