Isu Pendidikan Seksualiti

Pendidikan Seks sebenarnya sudah menjadi satu isu yang sangat kontroversi di dalam masyarakat kita. Ada sesetengah pihak mahu memperkenalkan sistem pendidikan seks manakala ada pula sesetengah pihak lain yang menentangnya.
Pelbagai alasan diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Dalam masa yang sama fenomena sosial moden termasuk isu berkaitan seksual yang dianggap berpunca daripada hal ini terus berlaku dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah dan kes pembuangan bayi.
Soalnya, apakah gejala seksualiti ini akibat daripada perhubungan bebas?. Jawapannya, gejala seksualiti ini akibat daripada perhubungan bebas yang meliputi semua aspek seperti meningkatnya kadar jenayah seksual, seks rambang, HIV atau Aids, kejadian sumbang mahram, kes rogol dan homoseksual.
Orientasi seksual mula timbul pada tahap awal remaja yang merujuk kepada pola atau rangsangan masa yang erotik, iaitu sama ada kepada jantina sama jenis atau jantina sebaliknya.
Justeru, Islam sangat melarang pergaulan bebas yang boleh menjerumus ke arah gejala sosial kerana ia boleh membawa banyak kemungkaran dalam masyarakat. Lantaran itu, mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak mestilah berusaha mengubah keadaan ini kepada yang lebih baik.
Penghalang kepada pendidikan seks ini adalah pandangan masyarakat terhadap perlaksanaannya. Ia perlu dilakukan di peringkat sekolah secara ilmiah, berilmu penuh hikmah dan mengikut peringkat demi peringkat. Pandangan generasi baru terhadap pendidikan seks sebenarnya sudah mula menampakkan perubahan. Apa yang penting ialah ‘ Pendidikan Seks ‘ itu sendiri yang banyak membawa erti kata yang berbeza.
Terdapat juga konflik dalam menerima perubahan ini terutamanya di kalangan ibu bapa remaja itu sendiri. Mereka bimbang dengan isi kandungan dan sukatan pelajaran yang boleh menjurus kepada masalah seksual yang lebih berbahaya seperti peningkatan gaya hidup pergaulan bebas, kes rogol, pembuangan bayi dan sebagainya.
Daripada pandangan tersebut, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan seksualiti sebagai subjek berasingan yang dikenali sebagai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial ( Peers ). Kementerian juga telah menetapkan mata pelajaran itu diajar selama 40 minit sebanyak dua kali sebulan di sekolah menengah, manakala selama 30 minit setiap minggu bagi murid di sekolah rendah.
Persoalannya, mengapakah pendidikan seks perlu dan adakah ia sesuai dalam masyarakat di Malaysia. Kita juga semestinya tidak mahu anak memahami seks hanya melalui saluran yang tidak sihat seperti melalui internet dan juga CD lucah. Justeru, pendidikan melalui Peers mestilah selari dengan pengajaran dari segi akidah dan juga agama. Hanya melalui ilmu yang dipelajari melalui pendidikan tersebut, pelajar dapat memahami bahawa seks hanya halal selepas sah berkahwin.
Terdapat pro dan kontra terhadap pendidikan seks dengan mengaitkan kepada isu sosial berkaitan. Justeru, pendidikan seks mestilah berlandaskan perspektif agama. Pandangan Islam terhadap pendidikan seks mestilah diambil kira sebagai teras pendidikan. Kita harus memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru-guru yang terdidik dan terlatih untuk mengajar mata pelajaran Peers ini di sekolah.
Ia juga mestilah menjelaskan mengenai perhubungan yang halal dan keburukan tentang hubungan yang haram kepada anak di sekolah. Selain itu, ia menjelaskan jalan untuk mencapai kebahagiaan hidup berumah-tangga dan sebagainya. Membina keharmonian dalan rumah tangga seharusnya dijadikan fokus utama, bukan hanya pendidikan seks semata-mata. Daripada sini, akan jelas cinta yang agung hanya pada-Nya.
Kesimpulannya, sama ada wanita atau lelaki, memelihara kehormatan adalah sangat diutamakan dalam kehidupan seharian dan juga dalam kehidupan selepas berumah-tangga. Bagi remaja, memelihara kehormatan mestilah dijadikan didikan sejak dari awal lagi.