Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Penderaan Kanak-kanak

02.25.2012 · Posted in Isu Masyarakat

Isu penderaan yang kerap berlaku dalam masyarakat kita adalah lambang manusia yang telah hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri. Pendera sebenarnya hidup bertopengkan sifat binatang yang melakukan penderaan tanpa memikirkan kesan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa dera.

Perbuatan itu berlaku apabila mata hati (kalbu) buta daripada melihat nilai hidup sebagai manusia. ALLAH SWT menjelaskan mengenai mata dan telinga kalbu. Kedua-duanya menjadi penanda aras meletakkan seseorang sama ada bertaraf insan atau hidup seperti haiwan.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-A’raf, ayat 79 bermaksud: “Mereka mempunyai kalbu tetapi tidak mengambil faham (berfikir) dengannya dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka itu adalah seperti binatang ternakan, malah mereka lebih sesat.”

Mata dan telinga yang dimaksudkan bukanlah mata dan telinga jasmani, tetapi merujuk kepada mata dan telinga kalbu. Kalbu yang diasuh dengan takwa melihat dan mendengar berdasarkan kepada kebenaran yang membawa kepada keredhaan ALLAH SWT.

Penderaan membabitkan ahli keluarga, rakan asrama, rakan sekerja dan rakan sepelatih sering saja dilaporkan. Kejadian itu membuktikan pelakunya seorang yang buta tuli kalbunya. Perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia. Pelakunya layak dipanggil binatang.

Kejadian penderaan terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa, ahli keluarga dan penjaga adalah perlakuan di luar batas kemanusiaan. Hal ini berpunca daripada hilang kasih sayang dan rasa tanggungjawab atas amanah yang sepatutnya dilaksanakan.

Kanak-kanak termasuk dalam golongan yang lemah serta memerlukan perhatian, didikan dan diberi kasih sayang daripada orang yang lebih dewasa. Rasulullah SAW menjelaskan kebajikan yang dilakukan terhadap kanak-kanak adalah sebahagian daripada cara membalas jasa ibu bapa kita sendiri. ALLAH SWT berfirman mewajibkan setiap muslim membuat kebaikan kepada ahli keluarganya dan melarang dari melakukan kejahatan.

Pendapat yang mengatakan hukuman berupa fizikal dan mental terhadap kanak-kanak adalah bertujuan mendidik adalah tidak betul. Pandangan itu lahir daripada mereka yang mungkin pernah melalui situasi itu sebelumnya. Inilah antara kesan buruk jika perkara yang tidak baik dipandang sebagai betul.

Kaedah mendidik yang terbaik ialah secara kasih sayang dan berhemah. Amalan memeluk dan mencium, bermain bersama-sama, menunaikan permintaan, melayan karenah dan banyak menghabiskan masa bersama kanak-kanak adalah cara paling berkesan dalam mendidik dan menyemai perasaan kasih sayang.

Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat terhadap anak dan cucu baginda seperti meriba, mengusap rambut dan bermain bersama-sama. Baginda sering menjadi ‘unta’ dan ‘kuda’ mainan kepada cucunya Hassan dan Hussin ketika bermain. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah menjelaskan sesiapa yang ingin dikasihi, maka dia terlebih dahulu perlu mengasihani orang lain. Perbuatan itu jelas memperlihatkan bagaimana kesan hubungan timbal balas sesama manusia.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup