Isu Pencemaran Sampah

Published on: Feb 06 2012 by admin

Pencapaian manusia di zaman serba moden ini amat mengagumkan kerana mampu menguasai pelbagai bidang profesional, tetapi majoritinya masih gagal untuk memahami pekara paling mudah diajar berulang-kali sejak prasekolah iaitu ‘ Jangan buang sampah di merata-rata tempat’.

Itulah ilmu yang paling sukar diterapkan dan dikekalkan dalam diri kita. Sesetengah masyarakat kita memandang remeh mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. Kita sering melihat ragam sesetengah orang yang megah bergaya dengan pakaian dan kenderaan mewah, tetapi mempunyai tabiat membuang sampah di merata-rata.

Tiada nilai dan ertinya kemegahan seseorang itu jika masih terselit dengan sikap tidak bertanggungjawab sebegini. Kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab setiap individu. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan menjaga kebersihan negara kita?. Ada di antara kita menganggap menjaga kebersihan adalah tugas pihak tertentu seperti pekerja kontraktor yang menyapu sampah kerana mereka dibayar untuk tujuan kebersihan itu.

Kita sebagai rakyat Malaysia harus mengikis pemikiran sebegini dan menyedari ianya adalah tanggungjawab bersama. Sampah-sarap boleh dilihat bertaburan di jalan raya, kaki lima, taman rekreasi, stesen bas dan di mana-mana saja. Inikah pemandangan yang kita inginkan?.

Sering kali alasan diberikan adalah kekurangan tong sampah atau tiada tong sampah berdekatan. Adakah kita mengharapkan tong sampah disediakan di setiap pelusuk tempat supaya memudahkan kita membuah sampah?. Sudah tentu ia kurang wajar dan akan membabitkan kos yang tinggi. Kita seharusnya mengambil inisiatif sendiri seperti menyimpan sampah itu buat sementara dan bolehlah dibuang apabila menjumpai tong sampah.

Cuba renungkan, kadang-kala kita amat teliti dan cerewet menjaga kebersihan air tetapi mengapa bersikap sambil lewa untuk mengotorkan alam sekitar?. Apabila banjir kilat berlaku, kita menganggap ia hanyalah bencana alam, tetapi kita alpa mengenai puncanya. Sampah yang menyekat saliran air akan menyebabkan air melimpah dan akan menyebabkan banjir berlaku.

Selain itu, kesan dari pencemaran tersebut juga akan menyebabkan pelbagai penyakit seperti demam denggi berlaku. Isu pencemaran alam sekitar di negara kita boleh dikategorikan berada pada tahap serius. Kita harus meningkatkan kesedaran dan berazam untuk mengatasi masalah ini bersama. Didiklah diri sendiri dan generasi pewaris agar menyayangi negara.

Setiap perubahan dan usaha kecil yang kita lakukan mampu memberi impak yang besar kepada kebersihan alam sekitar. Ingat lagi slogan’ Rakyat bersih, negara sihat?’.

Bookmark and Share

Sorry, the comment form is closed at this time.