Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Pembantu Rumah Warga Asing

02.17.2012 · Posted in Isu Semasa

Isu tentang pembantu rumah di Malaysia memang sering menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Hakikatnya kebergantungan Malaysia terhadap pembantu rumah ini belum berakhir kerana ramai wanita di Malaysia bekerja dan tiada pilihan selain memerlukan khidmat pembantu rumah untuk membantu mereka untuk mengurus dan menjaga anak sepanjang mereka keluar bekerja.

Isu tentang pembantu rumah ini juga seakan tiada kesudahannya, khususnya tentang isu gaji dan syarat lain yang telah diperketatkan. Ura-ura untuk menaikkan gaji RM800 sebulan kepada pembantu rumah juga telah mendapat bantahan ramai kerana dianggap terlalu tinggi, selain diberi cuti sehari pada hujung minggu dan dibenarkan memengang pasport sendiri.

Mungkin majikan di Malaysia senang hati dan berfikiran terbuka jika kemahiran dan khidmat pembantu rumah tersebut berada pada tahap yang terbaik. Sebilangan pembantu rumah yang datang tidak terlatih walaupun mereka mendakwa sudah menjalani kursus sebelum memasuki negara ini, selain masalah dialek bahasa yang kurang difahami. Kes penderaan pembantu rumah oleh majikan di Malaysia sentiasa saja menjadi isu hangat. Cerita yang dijaja dan digembar-gemburkan tanpa garis penamat.

Semua itu bermula dengan kes pembantu rumah warga Indonesia yang bernama Nirmala Bonat, yang didera serta dicederakan oleh majikannya, Yim Pek Ha, antaranya menggunakan seterika panas yang ditekapkan pada badan, disimbah dengan air panas dan ditinggalkan dalam kecederaan yang teruk serta parut kekal pada kulit, selain pernah diketuk dengan cawan besi di dahi pada tahun 2004.

Kes tersebut mendapat liputan meluas di Indonesia selaku negara pembekal terbesar pembantu rumah di Malaysia sehingga negara Indonesia telah menghentikan serta-merta pengambilan pembantu rumah sebelum dibuka semula baru-baru ini.

Apa pun yang bersalah tetap bersalah, bagi kes Nirmala ini, Majikannya iaitu Yim, 41, bekas seorang pramugari, telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun olen Mahkamah Seksyen pada 27 November 2008 atas tuduhan itu, bagaimanapun hukuman itu telah dikurangkan kepada 12 tahun selepas Mahkamah Tinggi menerima rayuannya.

Memang tidak dinafikan, kes penderaan pembantu rumah oleh majikan serta salah laku seperti dirogol dan sebagainya wujud di negara ini tetapi telah dianggap sebagai kes terpencil, begitu juga di negara-negara lain termasuk di Arab Saudi, semuanya sama sahaja.

Sebenarnya, majikan bukan ada niat untuk mendera tetapi kadang-kadang mereka juga boleh hilang sabar apabila ada diantara pembantu rumah yang tidah faham bahasa, sengaja menimbulkan kekalutan serta menyakitkan hati. Tidak semua majikan adalah pendera, malah masih ramai yang baik hati, mulia serta berperikemanusiaan.

Contoh terbaik ialah pasangan majikan Malaysia, Tan Choo Tang dan isterinya, Wee Phooi Khuan. Mereka telah membiayai sebahagian besar kos pengajian pembantu rumah mereka yang bernama Sarmini Muhyadi sehingga beliau mendapat diploma dalam bidang pengurusan daripada Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Malangnya jarang sangat cerita sebegitu diperbesarkan, sebaliknya yang buruk saja diceritakan.

Untuk mendapat pembantu rumah yang baik bukannya suatu pekara yang mudah, selain perlu berurusan dengan ejen pembekal pembantu rumah asing. Majikan perlu menanggung kos pengambilan yang tinggi sekurang-kurangnya RM6,500 dan jumlah itu belum lagi termasuk kos lain seperti levi, visa dan perubatan Fomema. Tidak mustahil bayaran sekarang begitu tinggi sehingga ada yang mencecah RM10,000.00.

Risiko majikan terlalu tinggi apabila sampai di Malaysia kerana sebilangan daripada majikan terpaksa pula berhadapan dengan kerenah pembantu rumah yang bermacam ragam, sehingga ada yang baru bekerja beberapa hari atau bulan, lari. Ada kes yang lebih teruk dan tidak bermoral apabila berani membawa masuk teman lelaki ke dalam rumah sewaktu ketiadaan majikan, curi barangan dan lebih dahsyat mendera anak majikan sendiri.

Ejen yang bersubahat dengan pembantu rumah pula bukan rekaan semata-mata. Ejen pembekal ini akhirnya meraih keuntungan ‘atas angin’ dengan menghantar pembantu rumah yang bermasalah ini kepada majikan yang lain. Tidak kurang juga, ada majikan yang kena tipu oleh ejen pembekal dengan melesapkan wang pendahuluan dan dirinya sendiri, sedangkan pembantu rumah yang dijanjikan hanya helah semata-mata.

Kerajaan haruslah peka dengan masalah ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik agar memberi faedah kepada kedua belah pihak supaya isu ini tidak menjejaskan persefahaman antara negara kita dengan negara pembekal terbesar pembantu rumah.

Bookmark and Share

Comments are closed