Isu Pemansuhan Hukuman Mati

Cadangan oleh sesetengah pihak agar hukuman mati dimansuhkan dirasakan belum sesuai lagi pada peringkat ini. Ia juga dilihat seolah-olah meminggirkan sensitiviti bagi keluarga mangsa yang dirundung malang itu.
Jika pendekatan itu diterima pakai dalam kes-kes yang melibatkan kematian tragis seperti pembunuhan, hukuman berbentuk pampasan mahupun hukuman penjara dilihat masih sukar untuk diterima apatah lagi dilaksanakan.
Pernah terjadi dalam kes-kes yang berprofil tinggi, ada suara-suara yang berunsur dendam diluahkan oleh keluarga mangsa, jika si pelaku tidak mati di tali gantung iaitu si pelaku tersebut terlepas daripada ‘hukuman mati’, mereka akan pastikan bahawa si pelaku akan ‘mati’ dengan apa cara sekalipun.
Dalam situasi ini, jika tiada hukuman mati, si pelaku mempunyai potensi untuk mengulangi kesalahan tersebut terhadap orang lain pula apabila dibebaskan kelak. Meskipun seandainya kenyataan itu meleset, namun masyarakat umumnya akan berasa terancam dan dibelenggu ketakutan sekiranya pembunuh tersebut masih berkeliaran setelah dibebaskan dari penjara.
Hukuman mati telah wujud dalam sejarah kemanusiaan. Pada zaman silam, bukan sahaja hukuman mati wujud, malahan ia dijalankan dengan cara yang berbeza. Salah satu bantahan yang sering diterima ialah apabila hukuman mati dijalankan, ia tidak akan dapat diperbetulkan kembali jika pada akhirnya hukuman tersebut dikesan ada berlaku kesilapan. Namun begitu, salah satu cara bagi mengelakkan daripada berlakunya kesilapan, negara ini mempunyai proses rayuan sebanyak dua kali.
Selain daripada proses rayuan di mahkamah, terdapat juga proses yang dikendalikan oleh Lembaga Pengampunan bagi menjamin hak tertuduh. Sudah menjadi lumrah, pihak yang menjadi mangsa sesuatu perlakuan jenayah itu pasti akan menuntut hukuman semaksimumnya mungkin seperti yang telah diperuntukkan oleh undang-undang negara. Misalnya, individu yang hilang sebelah tangannya, seboleh-bolehnya mahu pesalah itu juga dihilangkan sebelah tangannya juga.
Jika persoalan ini diajukan kepada pengamal undang-undang, mereka berpendapat isu pemansuhan hukuman mati ini perlu dilihat dalam dua konteks yang berbeza. Iaitu adakah hukuman gantung sampai mati boleh mengelakkan (deterrent ) bakal pesalah masa hadapan atau mampu mencegah kesalahan yang membabitkan jenayah berat seperti bunuh. Dalam konteks kedua pula, seandainya ia dimansuhkan, adakah kesalahan sebegini akan berleluasa.
Sehingga kini ramai yang berdebat tentang isu ini misalnya ada yang berpendapat, kita sebagai manusia tidak berhak mengambil nyawa, ada pula yang menyatakan nyawa perlu diganti dengan nyawa.
Isu tentang pemansuhan hukuman mati perlu dikaji dengan teliti misalnya pengedaran dadah yang boleh diganti dengan hukuman penjara seumur hidup, tetapi adakah lepas pemansuhan hukuman mati, jenayah itu akan akan berada ditahap yang sama sebelum hukuman mati dimansuhkan. Bagi kesalahan yang melibatkan jenayah kejam seperti bunuh, kita perlu lihat serta kaji dari pelbagai sudut sebelum cadangan pemansuhan dibuat.