Isu Pelacuran Di Malaysia

Isu pelacur warga asing dominasi kegiatan pelacuran di Malaysia. Meskipun isu tersebut hangat diperkatakan saban tahun, kegiatan pelacuran yang juga dikenali sebagai industri tertua di dunia ini dilihat seperti tiada berkesudahannya.
Saban hari rakyat disajikan dengan laporan kes-kes berkaitan pelacuran sama ada di dalam akhbar mahupun di kaca televisyen. Sebagai contoh antara berita yang dapat kita lihat ialah laporan tentang 14 orang pekerja seks warga asing yang ditahan di dua premis kedai yang berselindung di sebalik perniagaan urut kaki dan pusat penjagaan kesihatan.
Mereka menawarkan perkhidmatan seks dengan sejumlah bayaran tambahan yang dikenakan kepada pelanggan yang ingin melanggan perkhidmatan terbabit. Ini antara senario dan helah yang biasa dilakukan oleh sindiket pelacuran untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Statistik yang diperolehi dari Unit Pencegahan Maksiat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman pada Januari hingga 15 Februari lalu menunjukkan warga asing paling ramai ditangkap kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran iaitu warga China (653) orang, warga Vietnam (367), Thailand (300), Mongolia (enam), Nigeria dan Sri langka masing-masing (empat) dan India (satu).
Melihat pada lambakan pekerja seks warga asing yang kebanyakannya datang dari negara terbabit menyebabkan punca utama kegiatan tidak bermoral ini mendapat permintaan tinggi di pasaran. Lebih-lebih lagi, mereka mempunyai kelebihan dari segi rupa paras dan bentuk badan. Kemasukan mereka ke negara ini rata-ratanya menggunakan dua taktik utama iaitu yang pertama menggunakan visa dan menyalahgunakan pas lawatan sosial sebagai pekerja, pelajar dan tidak kurang juga sebagai pelancong ketika melalui pntu masuk utama imigresen.
Kedua, masuk melalui ejen atau sindiket dengan membayar sejumlah wang sebagai upah membawa masuk mereka ke Malaysia. Kini terdapat pula taktik terbaru warga asing memasuki negara ini untuk bekerja sebagai pelacur dengan mengupah atau mengahwini lelaki Malaysia selama lima tahun dalam erti kata lain ‘kahwin kontrak’.
Persoalannya di sini, apakah punca kegiatan pelacuran warga asing ini semakin berleluasa?. Mengapa mereka memilih Malaysia sebagai pusat kegiatan berkenaan?. Jika dikaji dengan lebih teliti tentak aktiviti pelacuran ini, kebanyakan pelacur warga asing mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka memilih Malaysia untu menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.
Diantaranya, faktor kemudahan pengangkutan menjadi galakan kepada mereka untuk datang ke negara ini. Kos begitu murah dalam sistem pengangkutan seperti penerbangan kos murah dan mudah untuk di capai melalui internet telah menjadi pemangkin untuk mereka mengunjungi negara ini.
Faktor lain yang menjadikan pelacur warga asing memilih Malaysia sebagai destinasi utama aktiviti maksiat mereka ialah untuk meraih pendapatan yang lumayan. Mereka hanya perlu menjual tubuh dalam masa yang singkat untuk memperolehi sejumlah wang yang banyak bagi menampung perbelanjaan harian mereka. Apatah lagi dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi di bandar menyebabkan mereka sanggup untuk melakukan apa saja bagi meneruskan kehidupan di sini.
Justeru, tindakan menghentikan visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada warga asing dapat membendung kegiatan pelacuran. Langkah ini dilihat sangat tepat dan dalam masa yang sama dapat membantu pihak imigresen mengekang kegiatan jenayah lain atau salah guna pas lawatan berkenaan bagi tujuan pelacuran.
Pihak polis juga harus memantau semua warga asing yang masuk ke negara ini bagi memastikan mereka masuk dengan tujuan yang betul. Selain itu , pihak berkuasa tempatan juga diharapkan dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara untuk sama-sama menghapuskan sindiket pelacuran ini. Aktiviti pelacuran ini sebenarnya tergelincir daripada normal kehidupan budaya timur yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia.