Isu Novel Lucah Di Pasaran

Kebelakangan ini kedai menjual pelbagai buku menjadi meriah apabila pihak kerajaan bermurah hati menghadiahkan setiap pelajar dengan baucar bernilai RM200 bagi pembelian buku yang sepatutnya digunakan pelajar untuk membeli buku akademik.
Namun, kebanyakan pelajar lebih cenderung untuk membeli novel popular selain membeli beberapa buku rujukan sedangkan nilai itu rasanya cukup untuk membeli buku rujukan dan ilmiah mengikut pengkhususan mereka.
Cuba perhatikan saja dalam bakul remaja yang sedang beratur untuk membuat pertukaran di kedai buku, buku apa yang mereka beli? kebanyakan mereka lebih gemar membeli novel-novel cinta daripada buku-buku yang sepatutnya mereka beli.
Dalam masa yang sama, kebanyakan novel itu sama ada disedari ataupun tidak, banyak terselit nilai-nilai negatif berunsur lucah. Bagaimana novel sedemikian rupa boleh lulus penerbitannya malah tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Isalam Malaysia (JAKIM) mahupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedangkan ia sangat jelas novel berunsur erotik dan banyak menampilkan babak serta dialog lucah secara terbuka.
Kalau tidak percaya, mohon ibu bapa atau pihak berwajib daripada JAKIM dan KDN turun untuk membuat pemeriksaan ke kedai-kedai utama, cuba selak saja sebuah dua novel popular yang kadang-kadang menduduki carta jualan tertinggi selama berbulan-bulan lamanya di pasaran.
Kelucahan dalam menggambarkan bagaimana hubungan seksual antara suami isteri dengan jelas, malah lebih teruk hubungan terlarang seperti berzina sesama kekasih dan lebih mengerikan mungkin ada adegan seks antara suami ataupun isteri orang.
Bagi kita yang beragama Islam, ini adalah racun yang sangat merbahaya kepada masyarakat, malah lebih bahaya daripada penyakit berjangkit kerana ia akan menyebabkan keruntuhan akhlak dan pemikiran sesebuah masyarakat.
Masyarakat yang diracuni oleh pemikiran seks ini hanya menjadikan nafsu sebagai dorongan untuk hidup dan apa bezanya dengan haiwan?. Generasi apa yang mahu kita tinggalkan pada masa hadapan?
Jesteru, kepada pihak berwajib khususnya JAKIM dan KDN, pantaulah kedai-kedai yang menjual buku-buku seperti itu dan bukan hanya menunggu laporan baru tindakan akan diambil. Mengharamkan novel bukan bererti mengharamkan penulis serta penerbitnya. Namun penerbit, penulis, pengedar dan penjual serta pihak penguatkuasa ada ‘sahamnya’ di dunia dan akhirat atas kelucahan sesebuah novel apabila ia disebarkan, dibeli dan dibaca, malah paling teruk mendorong untuk diamalkan pula oleh pembaca terutamanya remaja, peneraju masa hadapan kita.
Kebanyakan penulis novel berunsur lucah ini adalah dikalangan wanita Islam yang bertudung litup, kakak kepada adik, isteri kepada suami dan ibu kepada anak. Apakah mereka tidak malu sekiranya novel tersebut dibaca oleh kaum keluarga sendiri terutama anak-anak?.
Sebagai ibu bapa, kita harulah memerhatikan tingkah-laku anak-anak dan bukannya mengongkong bahan bacaan mereka tetapi bagi mengawal putik-putik barah yang sedang melanda dalam jiwa masyarakat kita ini. Jangan biarkan masyarakat kita menjadi masyarakat yang berminda lucah pada zahir dan batinnya seperti masyarakat di Barat.