Isu Makanan Halal Dan Haram

Published on: Feb 06 2012 by admin

Halal membawa maksud luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan tentang aspek halalan toyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan sihat. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya menyumbang kepada pembentukan ummah.

Sebagai umat Islam, kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan yang telah disyariatkan oleh Islam. Oleh itu, seseorang Islam sama ada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap pekara dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan serta hendaklah menjauhi pekara-pekara yang haram seprti judi, riba atau rasuah.

Ajaran Islam amat menitikberatkan tentang persoalan makanan halal dan bersih kerana makanan yang haram yang dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam terhadap tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati serta penerimaan dia kepada ALLAH SWT.

Panduan pemakanan dalam Islam adalah berlandaskan konsep memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kebersihan tubuh dan badan serta akal. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan serta akal fikiran dibenarkan oleh syarak.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:” Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan ALLAH kepadamu dari yang halal lagi baik dan bersyukur akan nikmat ALLAH, jika benar kamu menyembah-Nya. Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang yang disembelih tidak kerana ALLAH, maka sesiapa yang terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak melampaui batas ; sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Manakala yang haram dan memudaratkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah.”(Surah al-Nahl ayat 114-115).

Dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti sebaiknya. Pekara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari.

Kita juga dituntut agar menjauhi barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya. Kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah diperiksa halal dan kebaikannya kerana makanan dan minuman syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan haram secara tidak disangka-sangka.

Ada peniaga yang tidak bertanggungjawab memperdayakan pengguna seperti memalsukan logo halal atau menggunakan logo halal pada produk yang haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan, namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh.

Mereka yang melakukan perniagaan seperti itu sebenarnya telah mengkhianati seluruh masyarakat Islam dan melakukan amalan syaitan yang sesat lagi menyesatkan. Akta Perihal Dagangan 2011 diharap dapat membantu mengatasi masalah ini dan semua pihak perlu mematuhi akta yang telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012.

Bookmark and Share

Sorry, the comment form is closed at this time.