Isu Lynas

Isu pembinaan kilang Lynas di Gebeng, Pahang masih berpotensi mencetuskan polemik dan kontroversi. Walaupun pihak pembangkang membantah pembinaan kilang thorium itu atas dasar pembinaan tersebut akan merosakkan alam sekitar, namun rakyat akhirnya tahu bahawa bantahan tersebut sebenarnya mempunyai niat yang tersembunyi.
Kita sendiri sedia maklum bahawa komponen penjagaan alam sekitar iaitu pengurusan sisa pepejal domestik dan komersial di negeri Selangor sendiri bertambah teruk apabila syarikat Alam Flora Sdn Bhd telah ditamatkan kontrak untuk menguruskan sisa buangan domestik dan komersial.
Dulu, penulis juga terdiri daripada golongan yang membantah isu pembinaan kilang tersebut di Gebeng atas kebimbangan tersebarnya pencemaran radiasi yang boleh mengancam kesihatan penduduk sekitar dan kesan teruk kepada alam sekitar dengan perbandingan dengan kes Bukit Merah di negeri Perak dahulu.
Selepas berfikir dan mendengar penjelasan oleh pihak kerajaan, penulis akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan penyiapan kilang berkenaan. Syukur kerana penulis telah mendapat maklumat yang betul. Namun, bagaimana dengan rakyat yang lain? Adakah maklumat yang benar sampai kepada mereka? Berapa peratuskah maklumat yang betul dapat dicapai mereka?
Di laman sesawang, fitnah dan khabar angin terlalu banyak sehingga mampu mengaburi tentang fakta yang sebenar tentang tujuan pembinaan kilang tersebut. Selain melayari web Lynas yang turut menyediakan jawapan bagi FAQ ( soalan yang sering ditanya ), mengapa tidak ada pihak media yang menyediakan laporan atau satu dokumentari khas tentang pembinaan kilang Lynas di Gebeng?.
Pihak Lynas boleh bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar atau penerbit luar seperti Discovery Chanel dan National Geographic untuk menyediakan jawapan yang lengkap serta menyeluruh. Paparan berita sahaja tidak mencukupi kerana isu yang disampaikan adalah masih tidak menyeluruh.
Projek jalur lebar berkelajuan tinggi yang dibangunkan oleh syarikat Telekom Malaysia dapat dijadikan dokumentari, maka begitulah harapan penulis kepada isu Lynas ini. Penulis sangat berharap isu kontroversi ini dapat dijadikan sebuah dokumentari menyeluruh agar generasi akan datang tidak akan membuat anggapan yang salah mengenai pembangunan yang baik untuk negeri Pahang dan negara kita Malaysia amnya.