Isu Kutu Rayau

Kemajuan dan pembangunan negara hari ini yang pantas menyusur permodenan membuatkan kita terlupa sejenak mengenai penghuni kota yang hidup bergelandangan di Kuala Lumpur. Statistik menunjukkan hampir 2,500 orang yang hidup merempat dan sebanyak 500 daripada jumlah tersebut adalah penghuni kekal atau gelandangan tegar.
Apa yang lebih mengharukan adalah 80 peratus daripada golongan gelandangan itu adalah Melayu yang membabitkan usia kanak-kanak hingga ke peringkat warga emas. Golongan ini juga menjadikan kaki-kaki lima, lorong gelap, bawah jambatan, tempat pembuangan sampah dan hentian bas sebagai tempat tidur dan berlindung.
Mengapakah hal ini boleh terjadi walhal negara telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang? Bukan semua golongan yang dianggap kutu rayau tidak berpendidikan. Tidakah kita terasa malu dengan permasalahan ini? Rakyat asing boleh hidup dengan senang-lenang manakala rakyat kita merempat di negara sendiri.
Kajian yang telah dibuat oleh pusat pengajian mendapati ada dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi tetapi memilih cara hidup tidak wajar. Sikap mereka bukan saja merugikan negara, bahkan keluarga sendiri kerana menjadi kutu rayau di tempat awam.
Kita berharap kerajaan dapat bertindak tegas untuk membanteras golongan ini dengan memberi mereka peluang latihan untuk mendapatkan sebarang pekerjaan yang setimpal bagi menjamin kehidupan mereka lebih selesa.