Isu Kenderaan Guna Lampu Putih

Sejak akhir-akhir ini kita dapati semakin ramai pemilik kenderaan yang menggunakan lampu putih (HID) sehingga menimbulkan persoalan mengenai kewajaran pengguanaan lampu ini oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebagai seorang pengguna jalan raya, kita pasti berasa terancam dan kurang selesa ketika memandu jika bertemu kenderaan yang menggunakan lampu tersebut tidak kiralah sama ada dari arah bertentangan atau pun sewaktu kenderaan tersebut berada di belakang kita. Ada sesetengah lampu putih pada kenderaan tersebut terlalu terang sehingga benar-benar menyakitkan mata.
Pemasangan lampu HID secara aksesori (retrofit) dengan kuasa yang melebihi standard yang telah ditetapkan boleh mengganggu penglihatan pengguna jalan raya seterusnya boleh memudaratkan pengguna jalan raya yang lain.
Justeru, penguatkuasaan terhadap kesalahan ini boleh dibuat di bawah Kaedah 94, Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Kegunaan) 1959 iaitu ‘ keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya boleh mengakibatkan atau mungkin mengakibatkan bahaya kepada orang lain di dalam kenderaan atau pun di atas jalan raya’
Kesalahan ini boleh didenda sehingga RM2,00 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan di bawah Seksyen 119 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Oleh yang demikian, pihak yang berkuasa seharusnya mengkaji terlebih dahulu penggunaan lampu putih HID tersebut pada kenderaan kerana banyak keburukannya terhadap pengguna jalan raya yang lain atau terus mengharamkan penggunaan lampu tersebut pada kenderaan kerana kita percaya ramai pengguna jalan raya di luar sana yang bersetuju dalam hal ini.