Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Kahwin Kontrak

06.13.2012 · Posted in Sudut Pengetahuan

Satu daripada tajuk tarikan novel ketika ini yang bertemakan cinta dan kasih sayang adalah kahwin paksa atau kahwin kontrak. Lambakan novel sebegini membuktikan betapa tingginya permintaan daripada pembaca tidak kira usia. Tidak kurang hebatnya dengan filem mahupun drama yang disiarkan di kaca televisyen seolah-olah menyokong penceritaan yang berunsurkan kahwin kontrak.

Tema sebegini jelas membuktikan tarikan kepada pembaca mahupun penonton. Namun, apa yang menyedihkan selepas mengamati dan menghayati ceritanya, ia gagal membawa pembaca menghayati keindahan sebenar bercinta selepas berkahwin, seperti yang telah diamalkan pada zaman Rasulullah SAW termasuklah generasi nenek moyang kita.

Sebahagian daripada masyarakat kita masih tidak mengetahui bahawa kahwin kontrak adalah haram di sisi Islam. Keadaan ini berlaku kerana mereka tidak diberi pendedahan yang jelas lagi nyata mengenainya.

Tambahan pula mereka sering dihidangkan dengan cerita yang mengisahkan kahwin kontrak yang berakhir dengan kesudahan yang baik. Lantas masyarakat beranggapan perkara ini tidak salah di sisi agama mahupun undang-undang negara.

Islam menyuruh umatnya agar berkahwin, malah ia antara sunnah Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Al- Imam Ibnu Majah, daripada Aisyah Radiallahu- Anha berkata: ” Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.”

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW amatlah menggalakkan umatnya berkahwin kerana wujud pelbagai hikmah di sebalik sebuah perkahwinan. Berkahwin secara kontrak adalah menyalahi ajaran Islam, kerana perkahwinan seumpama ini menetapkan tempoh berkahwin dan merancang tarikh untuk berpisah, sedangkan perkahwinan adalah suatu perkongsian hidup sehingga akhir hayat.

Jelaslah bahawa nikah mutaah atau kahwin kontrak hanyalah untuk keseronokan semata-mata dan ia sangat bertentangan dengan pernikahan sahih.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup