Isu Harga Rumah Sewa Pelajar

Peningkatan harga rumah sewa kawasan Jitra, Kedah kini sering diperkatakan terutamanya dikalangan pelajar khususnya penuntut IPTA dan IPTS berdekatan. Kenaikan harga rumah sewa dilihat kini terlalu membebankan mereka kerana sewa yang dikenakan terlalu tinggi sedangkan mereka masih menuntut.
Dahulu, kos sewa yang ditanggung oleh pelajar untuk sebuah rumah kos rendah adalah sekitar RM150 – RM180 sebulan kini telah mencecah sehingga RM350 – RM1,000 sebulan. Kenaikan harga sewa amat memberi tekanan terhadap pelajar yang menyewa kerana mereka terpaksa berjimat cermat untuk kegunaan harian.
Kini untuk mencari rumah sewa di kawasan Jitra sekitar RM200 sebulan memang sukar terutamanya bagi golongan yang sudah berkeluarga kerana penyewa kini sudah menemui ‘ lubuk’ untuk menghasilkan pulangan yang lumayan.
Kenaikan harga sewa rumah di Jitra adalah kerana faktor ‘ tangan atas tangan’ iaitu tuan rumah meletakkan sewa sebanyak RM200 sebulan sebelum ‘orang tengah’ menaikkannya kepada RM500 hingga RM1,000 sebulan dengan mengikut berapa ramai pelajar yang mahu berkongsi menyewanya. Orang tengah akan membayar penuh selama 1 semester ( 6 bulan ) iaitu kira-kira RM1,200 kepada tuan rumah tersebut.
Bayangkan kalau seorang dikenakan bayaran sewa RM100. Kalau pelajar yang menyewanya seramai 10 orang, ini bermakna sebuah rumah berharga RM1,000 sewanya sebulan. Kadang-kadang, pelajar terpaksa menyewa juga walaupun harganya terlalu tinggi untuk sesebuah rumah kos rendah yang kadangkala tidak berbaloi dengan perkhidmatan dan kelengkapan rumah yang tidak seberapa.
Bukan hanya isu rumah sewa yang menjadi bebanan, ada juga sesetengah tuan rumah yang mahu menjualkan rumahnya pada harga yang tidak masuk akal langsung. Rumah yang dahulu hanya sekitar RM35,000 kini telah menjadi sekitar RM140,000 walaupun rumah tersebut seperti ‘rumah hantu’ yang mana kos untuk memperbaikinya mampu mencecah puluhan ribu.