Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Duit Syiling Baru Malaysia

05.01.2012 · Posted in Isu Semasa

Syiling baru itu amat cantik dipandang dengan kilauan emasnya dan corak motifnya, tetapi malangnya syiling itu tidak mesra pengguna. Amat sukar untuk membezakan antara syiling baru lima sen dengan 10 sen dalam dompet. Begitu juga amat sukar membezakan syiling baru 20 sen dan 50 sen.

Anda perlu melihat syiling baru dengan agak lama bagi membezakan nilainya. Berbeza sekali dengan syiling lama yang sekilas pandang kita sudah dapat membezakan nilainya. Apabila membuat perbandingan dari aspek saiz, jelas menunjukkan syiling baru mempunyai saiz hampir sama. Contohnya, syiling baru 50 sen berdiameter 22mm, syiling 20 sen (20mm), syiling 10 sen (18mm) dan syiling baru lima sen berdiameter (17mm). Julat perbezaan antara 1mm hingga 2mm untuk setiap syiling ini menjadikan ia amat sukar untuk dibezakan jika dilihat sekali pandang.

Ini bermakna pengguna perlu meneliti nilai pada muka syiling bagi setiap kali penggunaan syiling. Syiling 5 sen dan 10 sen hampir serupa dari segi saiz kerana cuma berbeza 1mm, manakala syiling 20 sen dan 50 sen juga nampak hampir serupa dengan beza hanya 2mm. Warna emas yang sama bagi syiling 20 sen dan  50 sen menambah faktor seimbas kepada kedua-dua syiling ini.

Walaupun syiling 50 sen baru berlekuk, tetapi lekuknya terlalu lemah dan tidak menonjol untuk membezakan kedua-dua syiling itu. Cetakan timbul pada muka syiling baru juga lebih kabur dan kurang timbul jika dibandingkan dengan syiling yang lama. Ini melemahkan lagi nilai mesra pengguna pada wang syiling baru ini.

Untuk perbandingan untuk syiling lama, nilai 50 sen berdiameter 28mm, syiling 20 sen (23mm), syiling 10 sen (19mm) dan syiling lima sen (16mm). Julat perbezaan saiz antara syiling adalah diantara 3mm hingga 5mm adalah satu julat yang jelas dari pandangan mata. Dengan sekilas pandang kita sudah boleh membezakan nilai syiling tanpa melihat nilai yang tertera pada muka syiling tersebut. Ini lah yang dikatakan ciri mesra pengguna yang ada pada syiling lama.

Amat penting mata wang mempunyai nilai mesra pengguna yang tinggi kerana ia digunakan pada setiap masa. Ciri rekaan bentuk, saiz dan warna perlulah mesra pengguna dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Ini dapat mengurangkan kesilapan serta menjimatkan masa dalam transaksi kewangan seharian. Seumpama membuat wang kertas RM5 dan RM50, jika ia hampir sama warna dan saiz, maka sudah pastilah amat mudah berlaku kesilapan dan juga penipuan. Dengan itu kita mencadangkan agar Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula ciri dan reka bentuk syiling baru ini dan juga mana-mana wang baru yang akan dikeluarkan agar ianya lebih mesra pengguna.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup