Isu Dadah Di Malaysia

Published on: Mar 08 2012 by admin

Kenapa Malaysia terus menjadi pusat transit untuk pengedaran dadah?. Setiap hari ada saja berita tentang rampasan dadah yang melibatkan jutaan ringgit di negara kita serta penahanan mereka yang terbabit sama ada individu mahupun kumpulan di kalangan rakyat tempatan dan warga asing.

Berita seperti ini cukup memberi kesan dari segi aspek keselamatan dan kesihatan fizikal dan mental rakyat Malaysia yang sememangnya amat prihatin mengenai apa yang berlaku di dalam negara. Kenapa negara ini menjadi pusat pengedaran dadah antarabangsa untuk memproses, mengedar dan memantapkan bisnes dadah mereka?. Mengapa?. Apa jawapan kepada persoalan ini?. Soalan ini perlu dan mesti ada jawapan yang spesifik dan fokus agar sedikit sebanyak penyelesaian berkaitan dengannya dapat dihuraikan dengan efektif dan efisien.

Di mana kesilapan yang berlaku sehingga keberanian pengedar dadah antarabangsa sudah semakin mencapai tahap maksimun dengan jutaan ringgit nilai dadah bertebaran dan bertaburan di bumi Malaysia?. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, perkara ini amat mengerunkan kerana ia mempunyai hubung kait dengan kejadian jenayah dan masalah sosial berkaitan dengan dadah.

Masyarakat juga bimbang anak remaja lelaki dan wanita mereka dijadikan ‘ keldai dadah ‘ berikutan terjadinya banyak kes penahanan anak gadis Malaysia di persada antarabangsa.

Selain itu bagi lelaki dewasa yang ingin mencari kehidupan yang lebih baik di luar negara juga menerima nasib yang sama iaitu menjadi keldai dadah antarabangsa. Di mana silapnya dan bagaimana kerajaan menanganinya?.

Ketika pihak berkuasa berusaha sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini, anggota masyarakat juga hendaklah berjuang dengan jujur dan ikhlas dengan memberi input dan maklumat yang relevan jika ada.

Pihak ibu bapa juga perlu bertekad menjaga keluarga dan anak dengan baik agar mereka tidak terjebak dengan gejala ini. Pihak penguasa agama pula diharapkan dapat terus membantu mempertingkatkan usaha murni meningkatkan nilai keagamaan di kalangan masyarakat sementara pihak berkuasa menggunakan kuasa untuk melindungi, mengawal dan memartabatkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan dan keamanan negara.

Marilah kita sama-sama berganding bahu dan berjuang seiring sejalan, seia sekata dengan apa juga peranan kita dalam masyarakat untuk menjaga keselamatan negara agar tidak sewenang-wenangnya dijadikan  pusat pengedaran dadah serta mangsa ‘ keldai dadah ‘ oleh sindiket dadah antarabangsa.

Bookmark and Share

Sorry, the comment form is closed at this time.

Sorry, the comment form is closed at this time.