Isu Caj Pinjaman PTPTN

Published on: Mar 09 2012 by admin

Lembaran baru 2012 telah dibuka dengan pelbagai insentif daripada kerajaan kepada rakyat dan yang paling hangat diperkatakan adalah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan yang terkini ialah tentang pengumuman Oleh Perdana Menteri mengenai diskaun 50 peratus bagi bayaran to di Lebuhraya Cheras – Kajang.

Berita sebegini ibarat hadiah buat rakyat terutamanya bagi pengguna lebuhraya berkenaan. Tetapi apa yang lebih besar dan sentiasa menjadi isu ialah kadar caj satu peratus terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Umum telah mengetahui bahawa caj satu peratus ialah caj bagi pengurusan pihak pemberi pinjaman terhadap kerajaan. Untuk rekod, kerajaan sudah pun mengurangkan caj ini daripata empat peratus kepada satu peratus. Tetapi amat wajar jika kerajaan memansuhkan terus caj satu peratus tersebut kepada semua peminjam PTPTN sebagi hadiah buat rakyat. Bagi peminjam PTPTN yang sudah bekerja, diharap anda semua dapat menunaikan kewajipan dengan membayar semula pinjaman yang telah diberikan supaya dapat membatu mereka yang lain.

Kita percaya, tindakan pemansuhan caj satu peratus ini amat realistik dan boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), supaya rakyat bertambah yakin bahawa kerajaan boleh melaksanakan janji tanpa mereka pelbagai manifesto pilihan raya.

Jika pengumuman ini dibuat sebelum PRU-13, sokongan kepada kerajaan akan semakin bertambah dan kuat terutamanya daripada golongan muda mudi dan lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana majoriti mereka adalah peminjam PTPTN.

Biarlah kerajaan dituduh memancing undi asalkan peminjam mendapat manfaat atas keprihatinan kerajaan. Cadangan ini di tujukan kepada kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN agar diberi sedikit ‘ diskaun ‘ kepada pelajar peringkat ijazah pertama yang mendapat kepujian kelas kedua (atas) iaitu purata CGPA 3.0 ke atas pembayaran balik pinjaman mereka.

Hal sedemikian dapat memberi mereka sedikit ruang ke atas pembayaran balik pinjaman PTPTN memandangkan bukan senang untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan di masa ini. Bagi peminjam tegar yang tidak membayar balik pinjaman yang telah diberikan, kerajaan sepatutnya mengkaji terlebih dahulu, adakah mereka ini sudah bekerja atau tidak, adakah pekerjaan mereka mencukupi untuk menanggung perbelanjaan hidup dan seterusnya membayar balik pinjaman.

Kita percaya, nilai berapa peratus diskaun itu tidak penting, apa yang lebih penting ialah keprihatinan dan kemampuan kerajaan dalam melaksanakannya. Kita mahu rakyat juga realistik dalam hal ini.

Bookmark and Share
Filed under: Isu Semasa Tags:

Sorry, the comment form is closed at this time.

Sorry, the comment form is closed at this time.