Info Klasik Ruangan Isu Semasa dan Sosial

Isu Artis Malaysia Bermasalah

04.17.2012 · Posted in Sosial Dan Hiburan

Sejak kebelakangan ini, imej segelintir artis tanah air begitu meloyakan apabila banyak yang melakukan perkara pelik yang bukan saja menjatuhkan maruah diri sendiri tetapi memalit imej negatif kepada artis lain dalam industri hiburan negara.

Bergaduh sesama rakan artis seolah-olah satu perkara yang biasa, malah lebih dangkal apabila ada yang sanggup berkelahi dengan ibu bapa, terbabit dengan penyalahgunaan dadah, mabuk, berkhalwat, aksi bogel atau berpakaian menjolok mata serta berperangai tidak senonoh di khalayak umum.

Peminat serta masyarakat semua tidak tahu apa motif mereka yang sebenarnya kerana berkelakuan seperti itu seolah-olah dianggap sebagai satu kebiasaan di dalam dunia hiburan yang mencabar. Ini tidak termasuk lagi perangai sombong dan hidung tinggi walaupun baru setahun jagung membabitkan diri dalam dunia hiburan dan kehebatannya tidaklah sejauh mana pun sudah belagak bagaikan ‘ Superstar Hollywood ‘.

Berkelakuan sebegini dan langsung tiada disiplin tidak boleh dijadikan contoh baik kepada remaja yang selalu memuja mereka dengan menganggap penyanyi atau pelakon kesayangan sebagai idola yang boleh dicontohi. Lihat saja lah remaja masa kini, cara berpakaian pun dah macam artis.

Memang tidak dinafikan, kebanyakan artis di zaman era 1950-an hingga 90-an cukup berdisiplin dan jauh sekali melakukan perkara dilarang agama dan tahu menjaga batas adat ketimuran. Jika ada sekalipun, tidaklah seperti di zaman ini yang rata-ratanya hanya mahu menunjukan diri yang mereka lebih hebat. Dalam hal sebegini, mana perginya Persatuan Seniman atau persatuan artis lain yang dilihat tidak mampu ataupun tidak berkuasa untuk membanteras segala kemaksiatan dan ‘ kerosakan moral ‘ yang berlaku.

Syarikat penyiaran juga hendaklah memainkan peranan bagi mengambil tindakan tegas seperti membekukan pembabitan artis berkelakuan tidak senonoh atau melampaui batas. Ia bertujuan menjadi teladan baik kepada artis supaya menjaga maruah dan imej diri kerana itu modal periuk nasik mereka.

Sepatutnya artis yang bermasalah atau sengaja mencari masalah diwajibkan menghadiri kuliah agama khas kerana mereka sepatutnya mempunyai asas agama. Semua itu perlu diajar supaya mereka ada rasa tanggungjawab dan menginsafi diri. Mereka yang melakukan kesalahan moral tersebut hendaklah mengikuti motivasi yang ditentukan oleh Persatuan Seniman dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam.

Bookmark and Share

Ulasan Telah Ditutup