Indonesia Dilanda Gempa Bumi

Beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia hari ini ‘ panik ‘ seketika ekoran gegaran daripada gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter yang melanda Aceh, Sumatera Utara Indonesia.
Gempa bumi yang berpusat di 364km ke barat daya daerah Simeulue pada kedalaman 10km di bawah permukaan laut telah menyebabkan pihak berkuasa Indonesia telah bertindak mengeluarkan amaran tsunami kepada penduduk di kawasan pantai dan di beberapa kawasan di sekitarnya.
Gempa tektonik yang berlaku pada pukul 3.38 petang ( waktu di Malaysia ) itu kemudiannya disusuli oleh gegaran yang kedua berukuran 8.5 skala Richter beberapa saat kemudian. Gegaran sekuat itu dipercayai berpotensi menyebabkan tsunami di lima daerah iaitu Aceh, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Bengkulu dan Lampung.
Selain Malaysia, gegaran akibat daripada gempa bumi tersebut turut dirasai di Singapura, Thailand dan India. Bangunan pencakar langit, pangsapuri dan pejabat di Malaysia turut merasai gegaran itu untuk tempoh seminit susulan kejadian terbabit.
Hampir 1,000 penduduk dari lima kampung di persisir pantai Kota Kuala Muda di Kedah, telah meninggalkan rumah masing-masing menuju ke Dewan Serbaguna Tunku Intan Shafinaz di kawasan berdekatan sebagai langkah keselamatan menghadapi kemungkinan ancaman Tsunami.
Penduduk dari Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Keda Tepi Sungai dan Kampung Kepala Jalan mula meninggalkan rumah masing-masing kira-kira jam 5.30 petang tadi selepas mendapat arahan daripada pihak berkuasa.
Kebanyakan penduduk yang ditemui mendakwa tindakan mereka itu adalah sebagai langkah keselamatan berikutan merasai gegaran selama 20 saat susulan gempa bumi tersebut.