Hudud Hanya Politik PAS

Politik oh politik. Bermacam-macam isu yang telah dibangkitkan, terutamanya berkenaan pelaksanaan hukum hudud yang sering dijadikan senjata oleh parti pembangkang. Adakah benar pembentukan negara Islam seperti yang diperjuangkan PAS atau hanya sekadar polemik politik untuk meraih undi majoriti masyarakat Islam di Malaysia?.
Dalam mengharungi cabaran ini, perkara yang paling penting yang ingin kita tanya ialah sepanjang 61 tahun PAS memperjuangkan dasar negara Islam, apakah peranan atau tindakan yang sudah mereka ambil untuk memberi kefahaman kepada lebih kurang 40 peratus golongan bukan Islam yang memegang 77 peratus ekonomi negara.
Sebab itu, dalam mengukur keikhlasan PAS dalam memperjuangkan negara Islam, kita tertanya-tanya daripada mereka memekik terlolong di dataran demonstrasi, ‘ berlakon drama ‘ di pentas politik, menyumpah kafirkan orang di mana-mana, adalah lebih baik tempoh selama itu benar-benar dimanafaatkan dengan memberi tarbiah kepada golongan yang bukan Islam bagaimana hudud akan dilaksanakan dan apakah kesan kepada mereka kelak jika ia dilaksanakan.
Pada pendapat kita dalam pelaksanaan hukum hudud, bukan hanya soal kewajipan untuk melaksanakan kerana kalau di lihat di Asia Barat, undang-undang itu sudah dilaksanakan sejak awal lagi, tetapi di Malaysia kita sudah biasa dengan undang-undang konvensional. Oleh itu, apabila mahu menukar kepada sistem perundangan Islam yakni hudud, maka perlu diberi fahaman kepada orang ramai terdahulu, terutamanya orang bukan Islam. Kita percaya, Islam juga mengajar perkara yang sama daripada mengelakkan timbul fitnah.
Atas ketidakfahaman inilah, wujud pelbagai fitnah dan tomahan mengenai kesucian Islam, mungkin ada yang katakan ini adalah ‘ sandiwara ‘ kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi bagaimana pula dengan rakan sekutu pembangkang sendiri yang mengecam pelaksanaan hukum ini?.
Bukan Islam memandang hudud sebagai hukuman yang berat sebelah, kejam dan akan mendatangkan pelbagai masalah dalam masyarakat, sedangkan hukum Allah itu sudah sempurna, tetapi siapa antara pemimpin PAS yang memikul tanggungjawab untuk memberikan kefahaman kepada golongan ini dan membetulkan pandangan negatif mereka terhadap Islam.
Bukan itu saja, secara jujurnya sebagai Islam tentu ramai yang masih belum mengerti bagaimana kaedah pelaksanaan hukuman ini. Kaedahnya perlulah difahami oleh segenap lapisan masyarakat agar tidak wujud fitnah, malah lebih teruk lagi apabila selepas dilaksanakan nanti, banyak masalah dalam pelaksanaan (bukan asas hukum) sehingga menjadi kucar-kacir dan menampakan gambaran Islam itu agama yang tidak lengkap.
Oleh sebab itu, ramai yang sering mempersoalkan jika benar PAS ikhlas dalam perjuangan untuk membentuk sebuah negara Islam melalui pelaksanaan hukum hudud, apakaj langkah yang sudah mereka ambil untuk memberi fahaman kepada seluruh masyarakat. Masyarakat ramai yang menganggap ‘negara Islam’ dan ‘hukum hudud’ hanyalah mainan politik parti pembangkang.
Tekanan politik yang memuncak selepas kemenangan besar diantara gabungan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 telah membuatkan PAS kini banyak menumpukanke arah negara kebajikan berbanding atas nama ‘daulah Islamiah’ yang pernah diperjuangkan oleh mereka itu sejak penubuhannya.
Kesimpulan yang paling mudah dan logik diambil PAS ialah kerana tekanan dari rakan sekutunya, DAP yang mahukan PAS melucutkan agenda pembentukan sebuah negara Islam demi memastikan pakatan pembangkang mendapat mandat terutamanya daripada pengundi bukan Islam.