HIV Meningkat 10 kali Ganda

Kes jangkitan HIV membabitkan wanita di Malaysia telah meningkat 10 kali ganda dalam tempoh satu dekad, iaitu 9,000 orang dengan kebanyakan mereka mendapat virus itu menerusi hubungan heteroseksual dan suami. Jumlah itu mewakili hampir 10 peratus daripada jumlah kumulatif HIV di negara ini.
Ramai wanita, terutama suri rumah tidak mengetahui mereka telah dijangkiti HIV daripada suami masing-masing yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah atau hubungan seks tidak selamat. Jadi, wanita harus membuat pemeriksaan di klinik kesihatan jika was-was dengan tingkah laku suami.
Keseluruhannya di Malaysia, Kelantan berada pada kedudukan yang tertinggi bagi penghidap HIV di negara ini kerana lokasinya yang bersempadan dengan Sungai Golok dan Hatyai, di Selatan Thailand.
Ada antara suami mengadakan hubungan seks dengan wanita di sana hingga membawa kepada jangkitan virus berkenaan kepada isteri masing-masing. Berdasarkan Laporan Kemajuan Negara, Kementerian Kesihatan, sehingga akhir 2011, Malaysia mempunyai 94,841 kes HIV, AIDS ( 17,686 ) dengan 14,986 melibatkan kes kematian akibat daripada penyakit berkenaan.
Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan agar semua lapisan masyarakat mengambil berat tentang ancaman tersebut agar dapat memberi kesedaran betapa bahayanya jangkitan HIV.