Gejala Remaja Hidu Gam

Gejala sosial dikalangan remaja kita hari ini sering diperkatakan. Rata-rata kita dapat melihat perlakuan remaja-remaja kita yang bermasalah dengan pelbagai aktiviti yang negatif seperti lumba haram, terlibat dengan dadah, samseng, ragut dan sebagainya. Kini gejala menghidu gam pula dilihat semakin berleluasa di negara kita terutamanya melibatkan golongan remaja.
Umum sedia mengetahui bahawa remaja adalah aset penting kepada negara pada masa akan datang. Sejak akhir-akhir ini remaja seawal usia 12 tahun juga sudah didapati mulai berjinak-jinak dalam gejala ini.
Paling menyedihkan, gam yang menjadi ketagihan mereka adalah gam kasut yang mudah terdapat di pasaran. Remaja kini mampu untuk membeli gam itu kerana harga di pasaran adalah murah. Jika mereka tidak cukup wang, mereka akan berkongsi wang dengan rakan-rakan yang terlibat sama untuk membeli setin gam terbabit untuk melepaskan ketagihan.
Gam tersebut mengandungi pelarut seperti tolune serta trichloroethylene iaitu sejenis toksik yang boleh mengganggu fungsi jantung. Jika dihidu berlebihan, lama-kelamaan ianya boleh menyebabkan kematian atau menjadi gila.
Lazimnya, apabila seseorang mempunyai penyakit mental, masih ada peluang untuk merawat dan mengubati pesakit berkenaan tetapi tidak bagi penghidu gam kerana otak mereka sudah terjejas sepenuhnya disebabkan daripada kesan gam yang dihidu. Ini menggambarkan betapa teruknya kesan dan akibat daripada aktiviti menghidu gam secara berterusan dan berlebihan.
Masyarakat kita kebiasaannya menggunakan istilah menghisap gam kerana pada logiknya penghidu gam sebenarnya menghisap gam yang mereka letakkan di dalam bekas plastik. Cecair gam tersebut disedut dan dihisap sehinggakan tiada lagi sisa yang tinggal di dalam bekas plastik itu. Begitulah caranya remaja ketagihan menghisap gam sehingga mereka akan berasa khayal dan berada di luar kawalan.
Kita amat berharap agar gejala menghisap gam di negara kita ini dapat dibendung oleh semua lapisan masyarakat dan pihak berkuasa sebelum terlambat kerana pengaruh menghidu atau menghisap gam amat kuat sekali jika ada diantara kita yang tersilap langkah.